Liga Super: Kuching City FC rampas kedudukan kedua liga

Perlawanan Kuching City menentang Penang di Stadium Bandaraya. / FOTO BERNAMA

GEORGE TOWN, 15 Mac – Kuching City FC melonjak ke tangga kedua Liga Super 2025/2026 selepas meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabriel Nistelrooy Tamin muncul wira dengan gol tunggal memastikan kemenangan.
  • Kemenangan itu meletakkan pasukan Aidil Sharin mengatasi Selangor dan Kuala Lumpur City, kedua-duanya 38 mata.
  • Penang menguasai babak pertama namun serangan tumpul, termasuk percubaan Kipre Tchetche, gagal menembusi gawang.
  • Percubaan Kipre pada minit ke-80 diselamatkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli dan keputusan kekal sehingga tamat.

Penyerang Gabriel Nistelrooy Tamin muncul wira apabila jaringan tunggalnya memastikan tiga mata berharga, sekali gus mengumpul 40 mata daripada 19 perlawanan setakat ini.

Kemenangan itu meletakkan pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak mengatasi Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang masing-masing berkongsi 38 mata di tempat ketiga dan keempat, manakala Penang FC pula kekal di kedudukan kesembilan dengan 19 mata.

Tuan rumah menguasai babak pertama, namun serangan tumpul termasuk percubaan penyerang berpengalaman dari Ivory Coast, Kipre Tchetche yang melambung tinggi pada minit ke-32 menafikan mereka daripada menembusi gawang pelawat.

Kelekaan ketua pasukan Penang FC, Stefano Brundo, yang gagal mengeluarkan bola dengan cepat, dimanfaatkan Gabriel untuk menolak masuk gol pembukaan lima minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Bersambung babak kedua, percubaan terbaik tuan rumah sekali lagi hadir menerusi Kipre pada minit ke-80, namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.