
KOTA KINABALU, 23 Februari – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan aksi cemerlang apabila membenam Sabah FC dengan jaringan 6-1 di Stadium Likas, malam tadi.
- JDT menang besar 6-1 ke atas Sabah FC di Stadium Likas, mengekalkan rekod tanpa kalah.
- Bergson, Ajdin Mujagic dan Oscar Arribas antara penjaring utama membina kelebihan JDT.
- Sabah hanya mendapat gol sagu hati melalui Chris Marlon Ondong pada minit ke-88.
- Jurulatih JDT tekankan perlunya pemain lebih matang; Sabah perlu perbaiki kesilapan sendiri.
JDT membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bergson Da Silva.
Skuad Harimau Selatan terus menguasai perlawanan apabila Ajdin Mujagic menggandakan kelebihan pada minit ke-20 sebelum Oscar Arribas menambah gol ketiga empat minit kemudian.
Mujagic sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke 40 selepas rembatan beliau berjaya menewaskan penjaga gol Sabah FC, Damien Lim, sekali gus meletakkan JDT selesa mendahului 4-0 sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, JDT bermula garang apabila Manuel Hidalgo menjaringkan gol ke-5 pada awal minit ke-46.
Dua minit kemudian, Aribas melengkapkan gol ke-2 peribadinya menjadikan jaringan 6-0.
The Rhinos berjaya mendapatkan gol sagu hati pada minit ke-88 menerusi pemain import, Chris Marlon Ondong, namun jaringan itu tidak cukup untuk mengubah keputusan perlawanan yang berakhir 6-1 memihak pelawat.
Ketua Jurulatih JDT, Munoz Llompart Francisco Javier, berkata pasukannya perlu lebih matang dalam mengendalikan situasi perlawanan walaupun meraih kemenangan besar.
“Bukan mudah untuk datang ke sini dan menang 6-1. Namun kami perlu terus belajar dan memperbaiki kelemahan. Apabila berdepan perlawanan penting, pemain perlu kekal fokus sepanjang 90 minit dalam setiap situasi,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Jurulatih Sabah FC, Alto Linus, mengakui pasukannya perlu segera memperbaiki kelemahan terutama kesilapan yang membawa kepada jaringan lawan.
“Secara keseluruhan, banyak yang perlu diperbaiki dalam corak permainan kami, khususnya gol yang dilepaskan akibat kesilapan sendiri. Jika tidak diperbetulkan segera, kesilapan sama boleh berulang dalam perlawanan akan datang,” jelasnya.
Keputusan itu menyaksikan JDT kekal di tangga teratas Liga Super dengan rekod tanpa kalah selain mengutip 51 mata manakala Sabah di kedudukan ke-11 dengan 14 mata.