Liga Pro Saudi: Al-Nassr menang tanpa Ronaldo

Aksi Sadio Mane menjaringkan gol pembukaan ketika menang ke atas Al-Ittihad/REUTERS

RIYADH, 7 Februari – Al-Nassr meneruskan rentak kemenangan pada saingan Liga Pro Saudi apabila menewaskan Al-Ittihad 2-0 pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Al-Nassr menewaskan Al-Ittihad 2-0 untuk sambung rentak kemenangan liga mereka.
  • Sadio Mane menjaringkan penalti pada minit ke-84 untuk gol pembukaan perlawanan.
  • Angelo Gabriel menambah gol kedua lewat permainan menerusi percubaan solo.
  • Al-Nassr terus beraksi tanpa Cristiano Ronaldo, mencetuskan spekulasi tentang masa depannya.

Kemenangan itu merupakan keenam berturut-turut sekali gus melonjakkan kedudukan pasukan berkenaan di tangga kedua liga, hanya satu mata di belakang pendahulu, Al-Hilal.

Beraksi sebagai tuan rumah, Al-Nassr dilihat menguasai sebahagian besar perlawanan dan menyebabkan pasukan pelawat Al-Ittihad lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

Jaringan pembukaan Al-Nassr hadir pada minit ke-84 menerusi sepakan penalti bekas bintang Liverpool, Sadio Mane selepas bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Al-Ittihad.

Mane tenang memperdayakan penjaga gol Al-Ittihad, Predrag Rajkovic bagi gol pendahuluan perlawanan.

Al-Nassr kemudian mengesahkan kemenangan menerusi jaringan kedua hasil percubaan solo Angelo Gabriel yang melepasi penjaga gol Al-Ittihad pada minit akhir permainan.

Al-Nassr sekali lagi beraksi tanpa kelibat kapten mereka, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo tidak disenaraikan dalam skuad perlawanan buat kali kedua berturut-turut, selepas turut terlepas aksi kemenangan 1-0 ke atas Al-Riyadh pada Isnin.

Ketiadaannya mencetuskan spekulasi mengenai masa depan penyerang Portugal itu bersama kelab berkenaan.

Ronaldo menyertai Al-Nassr pada Disember 2022 selepas meninggalkan Manchester United, dengan kontrak bernilai £177 juta setahun, sekali gus menjadikannya pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah bola sepak.

Sejak menyertai kelab itu, satu-satunya kejuaraan dimenanginya ialah Piala Juara Kelab Arab pada 2023.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu menandatangani kontrak baharu selama dua tahun pada Jun 2025. – REUTERS