
LONDON, 27 Februari – Crystal Palace mara ke pusingan 16 terbaik Liga Konferens UEFA selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Zrinjski Mostar, manakala Fiorentina terselamat daripada kejutan besar ketika menentang Jagiellonia Białystok, awal pagi tadi.
- Crystal Palace menang 3-1 agregat ke pusingan 16 selepas jaringan Lacroix dan Evann Guessand di Selhurst Park.
- Keputusan itu meredakan tekanan terhadap pengurus Oliver Glasner, yang sah akan meninggalkan kelab hujung musim.
- Fiorentina hampir dimalukan tetapi mara 5-4 agregat berkat gol Fagioli, gol sendiri Romanchuk, dan kad merah lawan.
- Beberapa kelab lain mara: AZ Alkmaar, Lech Poznań, Sigma Olomouc, NK Celje, HNK Rijeka, dan Samsunspor.
Palace yang terikat 1-1 dalam aksi pertama play-off minggu lalu bangkit pada aksi timbal balik di Selhurst Park menerusi jaringan Maxence Lacroix dan Evann Guessand untuk melakar kemenangan agregat 3-1.
Kemenangan itu sekali gus meredakan tekanan terhadap pengendali, Oliver Glasner, yang sebelum ini dikritik susulan prestasi hambar dalam Liga Perdana Inggeris serta penyingkiran mengejut Piala FA kepada kelab divisyen enam, Macclesfield.
Gol pertama Palace hadir pada minit ke-36 apabila sepakan percuma Adam Wharton ditanduk masuk oleh Lacroix Guessand kemudian memastikan kemenangan menerusi rembatan jarak jauh pada masa kecederaan.
“Ia amat bermakna. Kami tidak melalui minggu-minggu yang mudah,” kata Glasner yang mengesahkan akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim.
Palace bakal berdepan kelab Jerman, Mainz 05 atau wakil Cyprus, AEK Larnaca pada pusingan 16 terbaik.
Sementara itu, Fiorentina hampir dimalukan sebelum mencatat kemenangan dramatik agregat 5-4 ke atas Jagiellonia.
Pasukan kendalian Paolo Vanoli melepaskan kelebihan 3-0 aksi pertama selepas hatrik Bartosz Mazurek mengheret perlawanan ke masa tambahan di Stadium Artemio Franchi.
Namun, jaringan Nicolo Fagioli dan gol sendiri Taras Romanchuk membantu Fiorentina kembali menguasai perlawanan. Gol lewat minit ke-118 oleh Jesus Imaz mencemaskan tuan rumah, tetapi kad merah Bernardo Vital di saat akhir memastikan kemenangan 4-2 buat wakil Poland.
Meskipun bergelut di tangga ke-16 Serie A, Fiorentina berpengalaman mara ke dua pentas akhir Liga Konferens sebelum ini, termasuk tewas kepada West Ham United dan Olympiakos.
Dalam aksi lain, kelab Belanda, AZ Alkmaar membelasah wakil Armenia, FC Noah 4-0 untuk mara dengan agregat 4-1 dan bakal bertemu Sparta Prague atau AEK Athens.
Lech Poznań menewaskan KuPS 1-0 (agregat 3-0) dan seterusnya menanti Shakhtar Donetsk atau Rayo Vallecano.
Kelab Czech, Sigma Olomouc menundukkan Lausanne-Sport 2-1 untuk kemenangan agregat 3-2 dan akan berdepan Mainz atau AEK Larnaca.
Pendahulu liga Slovenia, NK Celje menewaskan FC Drita 3-2 (agregat 6-4), manakala kelab Croatia, HNK Rijeka menyingkirkan Omonia Nicosia 4-1 secara agregat.
Samsunspor pula membelasah Shkendija 4-0 untuk kemenangan agregat 5-0 dan bakal menentang Shakhtar atau Rayo Vallecano pada pusingan seterusnya. – AFP