
PARIS, 27 Februari – Real Madrid dan Manchester City akan bertemu pada perlawanan kalah mati pusingan 16 terbaik Liga Juara Eropah buat musim kelima berturut-turut, manakala juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) akan menentang Chelsea.
- Real Madrid dan Manchester City bertemu sekali lagi dalam pusingan 16 Liga Juara Eropah musim ini.
- Paris Saint-Germain akan menentang Chelsea dalam perlawanan timbal balik pusingan 16.
- Perlawanan pertama pusingan 16 dijadual pada 10-11 Mac, dengan timbal balik seminggu kemudian.
Perkara itu diputuskan dalam satu undian yang diadakan di Paris, hari ini.
Kelab gergasi Sepanyol yang juga juara Eropah 15 kali itu akan menentang City pada perlawanan pertama di Santiago Bernabeu bulan depan sebelum bertandang ke England untuk perlawanan timbal balik, minggu berikutnya.
Kedua-dua kelab telah pun bertemu antara satu sama lain musim ini, dengan City menundukkan Madrid 2-1 pada Disember semasa fasa liga, yang menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris itu menduduki tempat kelapan manakala Real di tempat kesembilan.
Ini membolehkan City, pemenang Liga Juara Eropah pada 2023, mara terus ke pusingan 16 terbaik manakala Madrid terpaksa melalui pusingan play-off dengan menewaskan Benfica 3-1 secara agregat.
Ini merupakan musim kelapan kedua-dua pasukan bertemu antara satu sama lain sejak 2012.
Real menewaskan City dalam perlawanan play-off musim lalu serta suku akhir pada 2024 yang menyaksikan mereka memenangi trofi.
Sementara itu, PSG akan menjadi tuan rumah menentang Chelsea pada perlawanan pertama selepas layak ke peringkat 16 terbaik dengan kemenangan 5-4 secara agregat ke atas pesaing Ligue 1, Monaco dalam perlawanan play-off.
Chelsea pula terus mara ke peringkat 16 terakhir selepas menamatkan kempen di tempat keenam dalam fasa liga.
Kedua-dua pasukan telah bertemu satu sama lain pada peringkat kalah mati selama tiga tahun berturut-turut dari 2014 hingga 2016.
Pertemuan terakhir mereka adalah pada perlawanan akhir Piala Dunia Kelab, Julai 2025 di Amerika Syarikat, apabila Chelsea menang 3-0 menentang PSG.
Undian pusingan 16 terbaik turut menyaksikan Newcastle United akan menentang Barcelona dengan perlawanan pertama berlangsung di St James’ Park.
Liverpool pula akan menentang gergasi Turkiye, Galatasaray.
Arsenal dijadual menentang Bayer Leverkusen manakala Tottenham Hotspur diundi berdepan Atletico Madrid.
Juara Bundesliga, Bayern Munich akan bermain menentang Atalanta, satu-satunya kelab Itali yang tinggal dalam pertandingan itu, manakala Bodo/Glimt dari Norway dijadual bertemu Sporting Lisbon dari Portugal.
Perlawanan pertama akan berlangsung pada 10 dan 11 Mac, dengan perlawanan kedua seminggu kemudiannya.
Pasukan yang layak terus ke peringkat berkenaan selepas menamatkan saingan di kedudukan lapan teratas dalam fasa liga akan bermain di tempat sendiri dalam perlawanan timbal balik.
Perlawanan akhir Liga Juara Eropah musim ini dijadual berlangsung di Puskas Arena di Budapest pada 30 Mei. – AFP