
LISBON, 18 Februari – Bintang Brazil, Vinicius Junior menjaringkan gol sensasi untuk menghadiahkan Real Madrid kemenangan 1-0 ke atas Benfica dalam aksi pertama play-off Liga Juara Eropah pada Selasa yang dicemari dakwaan penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain Brazil berkenaan.
- Real Madrid menang tipis 1-0 ke atas Benfica melalui gol Vinicius Junior minit ke-50.
- Perlawanan terganggu lebih 10 minit selepas Vinicius dakwa dipanggil "mono", pengadil aktifkan protokol antiperkauman.
- Jose Mourinho dilayangkan kad merah dan akan terlepas aksi timbal balik di Santiago Bernabeu.
- Kembalinya Kylian Mbappe perkuat Madrid, Thibaut Courtois buat beberapa penyelamatan penting.
Gol menarik Vinicius pada minit ke-50 menerusi rembatan lencong ke menjadi pemisah di Estadio da Luz.
Namun sejurus selepas itu, beliau terlibat pertikaman lidah dengan pemain Benfica, Gianluca Prestianni, sebelum mengadu kepada pengadil Perancis, Francois Letexier.
Perlawanan dihentikan lebih 10 minit apabila Letexier mengaktifkan protokol antiperkauman selepas Vinicius mendakwa beliau dipanggil “mono” (monyet dalam bahasa Sepanyol).
Pemain tengah Madrid, Aurelien Tchouameni, berkata Vinicius memaklumkan rakan sepasukan bahawa Prestianni menggelarnya “monyet”.
“Vini dalam keadaan baik dan tenang,” kata jurulatih Madrid, Alvaro Arbeloa kepada Movistar.
“Perkara seperti ini tidak disukai sesiapa. Anda perlu bertanya kepada pemain Benfica apa yang dia katakan.
“Perkauman adalah sesuatu yang perlu dihapuskan daripada dunia bola sepak.
“Jika pemain sendiri tidak membetulkannya, ia akan menjadi sangat rumit”, ujar Arbeloa.
Sementara itu, jurulatih Benfica, Jose Mourinho, dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan selepas membantah secara keterlaluan dan akan terlepas aksi timbal balik di Santiago Bernabeu minggu depan menentang bekas kelabnya itu.
Madrid kendalian Arbeloa meraih kemenangan tipis tetapi penting di Lisbon, sekali gus membalas dendam kekalahan dramatik 4-2 kepada Benfica pada fasa liga sebelum ini.
Kehadiran semula bintang Perancis, Kylian Mbappe, yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan lutut, turut memperkukuh jentera Madrid.
Vinicius hampir membuka tirai jaringan lebih awal tetapi percubaannya tersasar.
Penjaga gol Madrid, Thibaut Courtois, turut mempamerkan aksi cemerlang menafikan percubaan jarak jauh Fredrik Aursnes.
Benfica turut memberi tentangan sengit apabila penjaga gol mereka, Anatoliy Trubin, menyelamatkan percubaan Mbappe dan Arda Guler sebelum rehat.
Namun Trubin tidak mampu berbuat apa-apa terhadap rembatan lencong luar biasa Vinicius pada awal babak kedua.
Gol itu disusuli sorakan provokasi apabila Vinicius menari meraikan jaringan di hadapan penyokong tuan rumah, yang menyebabkan beliau dilayangkan kad kuning.
Selepas permainan bersambung, Vinicius terus menjadi sasaran ejekan penyokong Benfica dan beberapapercubaan yang berjaya dinafikan Trubin.
Mourinho pula diperintah keluar padang pada minit ke-85 selepas menggesa pengadil melayangkan kad kuning kedua kepada Vinicius, sekali gus menafikannya peluang untuk berada di bangku simpanan menjelang aksi timbal balik di Bernabeu. – AFP