Liga Juara Eropah: Bodo/Glimt kejutkan Inter, Newcastle pesta gol di Baku

Aksi di antara kelab Norway, Bodø/Glimt menentang Inter Milan/REUTERS

PARIS, 19 Februari – Juara Norway, FK Bodø/Glimt mencipta kejutan besar dalam saingan Liga Juara Eropah apabila menewaskan naib juara musim lalu, Inter Milan 3-1 pada aksi pertama play-off, fasa kalah mati awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bodø/Glimt mengejutkan Inter Milan 3-1 dengan aksi berani dan jaringan lewat dari Kasper Høgh.
  • Newcastle meraikan kemenangan besar 6-1 ke atas Qarabağ; Anthony Gordon meledak empat gol.
  • Atletico ditahan 3-3 oleh Club Brugge dalam perlawanan dramatik, manakala Leverkusen hampir pastikan tempat 16 terbaik.

Dalam satu lagi aksi menarik, Newcastle United membelasah Qarabağ FK 6-1 di Baku, dengan Anthony Gordon meledak empat gol.

Sementara itu, Atlético Madrid terikat 3-3 dengan Club Brugge, manakala Bayer Leverkusen semakin hampir ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Olympiacos 2-0 di Greece.

Kelab Bodo/Glimt yang muncul juara Norway empat kali mempamerkan aksi berani di laman sendiri apabila mendahului pada minit ke-20 menerusi Sondre Brunstad Fet.

Inter menyamakan kedudukan pada minit ke-30 hasil jaringan Francesco Pio Esposito, menerusi semakan VAR

Bagaimanapun, wakil dari utara Lingkaran Artik itu kembali di hadapan selepas sejam permainan apabila Jens Petter Hauge menjaringkan gol hasil hantaran Kasper Hogh, sebelum Hogh sendiri meledak gol ketiga tiga minit kemudian.

Keputusan itu meletakkan Inter yang tewas 0-5 kepada Paris Saint-Germain dalam aksi akhir musim lalu, dalam situasi sukar menjelang aksi timbal balik di San Siro minggu depan.

Pemenang perlawanan bakal bertemu sama ada Manchester City atau Sporting CP di pusingan 16 terbaik.

Sementara itu, di Stadium Tofiq Bahramov, Newcastle mempamerkan dominasi sejak awal permainan.

Gordon membuka tirai jaringan seawal minit ketiga sebelum Malick Thiaw menggandakan kedudukan lima minit kemudian.

Bekas pemain sayap Everton itu kemudian menyempurnakan dua sepakan penalti selain melengkapkan hatrik profesional pertamanya sebelum rehat.

Jacob Murphy menambah gol keenam pada babak kedua.

Gordon kini telah menjaringkan 10 gol dalam sembilan perlawanan Liga Juara Eropah musim ini, dibelakang penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe yang mengumpul 13 gol.

Newcastle dijangka berdepan sama ada FC Barcelona atau Chelsea FC di pusingan seterusnya.

Di Belgium, Club Brugge bangkit dua kali daripada ketinggalan untuk mengikat Atletico 3-3 dalam aksi dramatik.

Julian Alvarez meletakkan Atletico di hadapan menerusi sepakan penalti, sebelum Ademola Lookman menjadikan kedudukan 2-0.

Namun tuan rumah bangkit menerusi Raphael Onyedika dan Nicolo Tresoldi.

Atletico hampir membawa pulang kemenangan selepas gol sendiri Joel Ordonez, namun Christos Tzolis memastikan kedudukan terikat 3-3 pada minit ke-89.

Sementara itu di Piraeus, Leverkusen membalas kekalahan bulan lalu apabila Patrik Schick menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit sekitar sejam permainan untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas Olympiacos. – AFP