Lee Zii Jia tersingkir di pusingan kedua Masters Indonesia

Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia / BERNAMA

JAKARTA, 22 Januari – Cabaran pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, di Kejohanan Masters Indonesia 2026 berakhir apabila tersingkir pada pusingan kedua hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lee Zii Jia tewas kepada Panitchaphon 21-15, 17-21, 8-21 dan tersingkir pada pusingan kedua Masters Indonesia.
  • Memulakan dengan selesa tetapi melakukan banyak kesilapan kritikal yang dimanfaatkan lawan terutama di set kedua.
  • Kemenangan pusingan pertama menamatkan kemarau 10 bulan; seterusnya dijadual beraksi di Masters Thailand.

Pemain nombor 103 dunia itu tewas kepada pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul dengan keputusan 21-15, 17-21, 8-21 dalam tempoh 57 minit di Istora Senayan.

Zii Jia memulakan aksi dengan meyakinkan, mengungguli set pertama 21-15 menerusi permainan kemas dan agresif.

Set kedua pula berlangsung sengit apabila bekas pemain nombor dua dunia itu mendahului 12-8, sebelum Panitchaphon berjaya mengejar untuk menyamakan kedudukan 12-12.

Ketika Zii Jia kembali di hadapan 17-15, peluang untuk menamatkan perlawanan dengan straight set tampak cerah, namun kesilapan demi kesilapan yang dilakukan berjaya dimanfaatkan Panitchaphon untuk menutup set kedua 21-17 dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada set penentuan, Zii Jia semakin kehilangan rentak yang membolehkan Panitchaphon mudah mendominasi perlawanan untuk menang 21-8.

Semalam, Zii Jia menamatkan kemarau kemenangan selama 10 bulan apabila menewaskan pemain India, HS Prannoy, pada pusingan pertama.

Kemenangan itu menjadi yang pertama sejak suku akhir Masters Orleans Mac tahun lalu.

Selepas ini, Zii Jia dijadual beraksi di Masters Thailand.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan