Laporan siasatan kes Danish Irfan siap dua minggu lagi

Danish Irfan Tamrin

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Jawatankuasa bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes pengguguran pelari pecut muda negara, Danish Irfan Tamrin, daripada skuad 4×100 meter Sukan SEA dijangka menyerahkan laporan penuh dalam tempoh dua minggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa bebas ditubuhkan untuk siasatan pengguguran Danish Irfan daripada skuad 4×100m Sukan SEA.
  • Ahli jawatankuasa terdiri daripada tiga individu berpengalaman dalam pengurusan dan pendidikan sukan.
  • 13 saksi telah dipanggil; pengambilan keterangan selesai pada 14 Januari selepas temubual bermula 6 Januari.
  • Laporan penuh dijangka siap dalam dua minggu dan akan dikemukakan terus kepada Menteri Belia dan Sukan.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Salim Parlan berkata penubuhan jawatankuasa itu susulan arahan Menteri Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) kepada Majlis Olahraga Malaysia (MA) untuk menjalankan siasatan menyeluruh.

Menurut beliau, jawatankuasa bebas berkenaan dianggotai tiga individu yang mempunyai latar belakang pengurusan dan pendidikan sukan. Jawatankuasa tersebut menerima surat pelantikan rasmi daripada MA pada 18 Disember lalu, namun proses pengambilan keterangan sedikit tertangguh kerana saksi utama belum bersedia memberi kenyataan.

“Kami hanya dapat memulakan sesi temu bual pertama pada 6 Januari dan telah memanggil seramai 13 individu yang dikenal pasti boleh membantu siasatan berdasarkan penelitian kronologi kes,” katanya.

Beliau menambah, pengambilan keterangan terakhir selesai pada 14 Januari dan ketika ini jawatankuasa sedang menyiapkan laporan akhir hasil siasatan.

Datuk Salim berkata laporan itu akan dicadangkan untuk dikemukakan terus kepada Menteri Belia dan Sukan selepas siap, memandangkan siasatan berkenaan dimulakan atas arahan kementerian.

Keputusan lanjut berhubung kes tersebut dijangka bergantung kepada penelitian dan arahan pihak kementerian selepas laporan berkenaan diserahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Datuk Salim Parlan / BERNAMA

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan