Laporan sahkan kematian grandmaster catur AS akibat masalah jantung

Daniel Naroditsky

WASHINGTON, 23 Januari – Kematian grandmaster catur Amerika Syarikat, Daniel Naroditsky, tahun lalu disahkan berpunca daripada masalah degupan jantung tidak normal, menurut laporan toksikologi yang mengklasifikasikan kematian pemain berusia 29 tahun itu sebagai kemalangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kematian Daniel Naroditsky disahkan akibat aritmia jantung berkemungkinan berkaitan penyakit radang dalaman.
  • Laporan toksikologi menemui methamphetamine, amphetamine dan kratom pada tahap tidak toksik.
  • Tiada bukti pengambilan dos berlebihan, kecederaan fizikal atau bahan terlarang di lokasi kejadian.
  • Naroditsky dikenang sebagai grandmaster dan penstrim yang mempopularkan catur dalam talian.

Naroditsky, yang dikenali sebagai bintang catur dan penstrim serta berperanan besar meluaskan pengaruh sukan itu dalam talian, ditemukan tidak bernyawa di kediamannya di Charlotte, North Carolina pada Oktober lalu.

Pihak polis sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan susulan kemungkinan pengambilan dadah berlebihan atau bunuh diri.

Namun, laporan Pejabat Pemeriksa Perubatan North Carolina yang diperoleh AFP pada Jumaat menyatakan punca kematian adalah “kemungkinan aritmia jantung” akibat penyakit radang yang menjejaskan organ dalaman.

Menurut laporan itu, Naroditsky mempunyai bahan methamphetamine, amphetamine serta makanan tambahan berasaskan tumbuhan, kratom, dalam sistem tubuhnya, namun kepekatannya berada pada tahap tidak toksik dan tidak membawa maut.

Laporan itu turut menyatakan tiada bahan terlarang atau peralatan mencurigakan ditemui di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan selepas kematian tidak menunjukkan sebarang kecederaan fizikal.

“Tiada bukti pengambilan dos berlebihan secara sengaja atau tidak sengaja melibatkan bahan terlarang, ubat preskripsi atau ubat tanpa preskripsi,” menurut laporan berkenaan.

Rakan-rakan Naroditsky memaklumkan dia menunjukkan perubahan tingkah laku yang membimbangkan ketika membuat penstriman beberapa hari sebelum kematiannya. Mereka turut mengambil kira-kira 40 pil yang dipercayai sejenis perangsang dari kediamannya.

Dalam tempoh beberapa minggu sebelum kematian, Naroditsky turut berdepan tekanan susulan dakwaan menipu yang dibuat oleh bekas juara dunia, Vladimir Kramnik. Dakwaan itu dinafikan Naroditsky dan tidak pernah dibuktikan.

Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE) menyifatkan pengaruh Naroditsky melangkaui papan catur, khususnya dalam mempopularkan kandungan catur secara dalam talian dan merapatkan jurang antara pemain profesional dan amatur.

“Tidak ramai individu yang mampu mencapai kejayaan sebesar ini sebelum usia 30 tahun,” menurut kenyataan badan induk itu.

Gelaran grandmaster merupakan pencapaian tertinggi dalam dunia catur, selain gelaran juara dunia.-AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan
Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.