
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Kunlavut Vitidsarn mencipta sejarah apabila muncul pemain Thailand pertama menjuarai kejohanan Terbuka Malaysia petang tadi.
- Kunlavut Vitidsarn jadi pemain Thailand pertama menjuarai Terbuka Malaysia.
- Beliau bangkit memenangi set pertama 23-21 ke atas jaguh nombor satu dunia, Shi Yu Qi.
- Shi Yu Qi terpaksa menarik diri dalam set kedua akibat kecederaan, memberi kemenangan kepada Kunlavut.
Dalam saingan bertaraf Super 1000 itu, Vitidsarn bangkit daripada ketinggalan untuk memenangi set pertama 23-21 ke atas jaguh nombor satu dunia, Shi Yu Qi.
Pemain berusia 24 tahun itu kemudian mendahului 6-1 dalam set kedua sebelum lawannya dari China terpaksa menarik diri akibat kecederaan.
Dalam kategori perseorangan wanita, pemain pilihan utama dari Korea Selatan, An Se Young menewaskan pemain nombor dua dunia dari China, Wang Zi Yi 21-15, 24-22 untuk merangkul gelaran.
Pilihan utama dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning pula menjuarai saingan beregu wanita menewaskan pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee So Hee 21-18, 21-12.
China turut menguasai kategori beregu campuran selepas pasangan pilihan utama, Huang Dong Ping dan Feng Yan Zhe mengatasi rakan senegara mereka, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin 21-19, 21-19.