
KUALA LUMPUR, 12 April – Program pembangunan akar umbi sukan tenis di ibu negara menunjukkan perkembangan positif dengan penyertaan peserta daripada pelbagai negeri.
- Program pembangunan remaja berjalan setiap Sabtu dan Ahad, mendapat sambutan meriah.
- DBKL menaik taraf empat gelanggang di Kompleks Sukan Titiwangsa, dihargai oleh Tennis KL.
- Perlu penambahbaikan infrastruktur terutama pencahayaan agar setaraf untuk kejohanan antarabangsa dan penggunaan umum.
Naib Presiden Persatuan Lawn Tenis Kuala Lumpur (Tennis KL), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, program pembangunan pemain remaja yang dilaksanakan berjaya menarik minat pemain bukan sahaja dari Kuala Lumpur, malah dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan turut menyertai kejohanan serta latihan yang dianjurkan.
“Kita buat program pembangunan remaja ini, dapat sambutan yang amat meriah, ada yang datang dari Melaka, Johor ada untuk sertai kejohanan, ada yang nak masukkan anak dari Negeri Sembilan, untuk setiap Sabtu dan Ahad kita buat program pembangunan ini. Kalau tengok kehadiran kita tak kurang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Titiwangsa, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas usaha menaik taraf empat gelanggang tenis Kompleks Sukan Titiwangsa.
Namun begitu, katanya terdapat beberapa aspek penambahbaikan masih diperlukan, khususnya melibatkan kemudahan pencahayaan di gelanggang.
“Cuma ada lagi perkara yang mungkin tertinggal seperti lampu. Lampu ada yang LED ada yang bukan, jadi bila nak digunakan untuk kejohanan antarabangsa, kegunaan orang ramai, jadi kena naik taraf juga lampu ini.
“Tapi saya rasa dari segi pembangunan, Kuala Lumpur ini, saya rasa paling maju antara negeri-negeri yang lain. Sayang jika infrastruktur di sini tidak sama standard dengan program pembangunan serta kejohanan yang kita sedang usahakan,” katanya.