
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Risto Vidakovic menyuarakan harapan agar pasukannya menerima sokongan lebih menyeluruh daripada pihak pengurusan, meskipun pasukan itu berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.
- Jurulatih harap pengurusan beri sokongan moral lebih konsisten untuk mengekalkan motivasi pemain.
- Keputusan dan gaya permainan jadi faktor utama memastikan pasukan terus bertahan dan bersatu.
- Pemain berpengalaman boleh kendalikan tekanan, namun kepimpinan diperlukan untuk sokongan berterusan.
KL City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu FC dengan keputusan 2-1 di Stadium KLFA, Cheras, sekali gus mara dengan agregat 3-2.
Menurut beliau kejayaan dan prestasi semasa pasukan wajar disertai dengan sokongan moral yang lebih konsisten bagi membantu pemain mengekalkan motivasi.
“Kadang-kadang pasukan hanya perlukan sedikit dorongan daripada pihak kelab. Bukan soal jumlah wang, tetapi sekadar melihat ada pihak yang berdiri di belakang kami dan mengambil berat.
“Namun pemain tetap bersatu dan terus berjuang. Apa yang memastikan kami terus bertahan ialah keputusan perlawanan dan cara kami bermain. Saya fikir semua orang dapat menikmati perlawanan kerana pasukan mempamerkan aksi yang baik.”
Beliau menyatakannya pada sidang media selepas tamat perlawanan, di sini.
Tambah jurulatih dari Serbia itu, walaupun pemain berpengalaman mampu mengendalikan tekanan, pasukan tetap memerlukan sokongan kepimpinan untuk terus bermotivasi.
Ia merupakan kali ketiga KL City mara ke separuh akhir dalam tempoh lima musim terakhir.
Sementara itu, jurulatih interim Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui pasukannya gagal menyerap tekanan daripada barisan berpengalaman tuan rumah.
“Semasa kita membuat pertukaran maknanya kita buat pertukaran itu sahaja terus berlaku, jadi mungkin yang baharu masuk itu dia tidak ‘settle down’ lagi maknanya dan kita buat kesilapan daripada situ,” jelasnya.
Akhyar Rashid terlebih dahulu meletakkan Terengganu di hadapan menerusi rembatan jarak jauh, namun kemasukan Kpah Sherman dan Paulo Josue pada babak kedua mengubah rentak permainan sebelum Victor Ruiz menyamakan kedudukan pada minit ke-78.
Josue kemudian muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan seminit sebelum tamat perlawanan.