
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melancarkan Kempen Anti Dadah dan Anti Gangsterisme sebagai langkah proaktif membanteras sebarang gejala negatif yang boleh menjejaskan imej serta integriti bola sepak tempatan terutama membabitkan pertandingan di bawah kelolaan mereka.
- MFL melancarkan kempen anti dadah dan anti gangsterisme untuk membanteras gejala negatif dalam komuniti bola sepak.
- Kempen dilaksanakan menyeluruh melibatkan semua pertandingan bawah kelolaan MFL dengan fokus pencegahan dan pendidikan.
- MFL menekankan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan demi persekitaran liga yang selamat dan berintegriti.
- Kempen juga bertujuan meningkatkan kesedaran penyokong agar tidak terjerumus dengan dadah, keganasan atau aktiviti gangsterisme.
MFL menerusi hantaran di Facebook menegaskan sebarang bentuk penyalahgunaan dadah, keganasan dan aktiviti gangsterisme dalam kalangan komuniti bola sepak dipandang serius kerana bertentangan dengan semangat kesukanan serta nilai murni yang ingin diterapkan dalam Liga Malaysia.
Kempen berkenaan akan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan semua pertandingan di bawah kelolaan MFL, dengan fokus kepada usaha pencegahan serta pendidikan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.
Inisiatif itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan penyokong agar tidak terjerumus dengan gejala dadah, keganasan dan gangsterisme yang boleh mencetuskan suasana tidak sihat di stadium serta mencemarkan reputasi sukan bola sepak negara.
Dalam pada itu, MFL menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan bagi memastikan Liga Malaysia berkembang dalam persekitaran yang selamat, positif dan berintegriti.
Terdahulu, seramai 33 individu dipercayai penyokong Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman susulan kejadian mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin dilaporkan berkata, 24 daripada 33 penyokong yang ditahan itu turut didapati positif dadah, termasuk tiga individu memiliki ganja dan erimin 5.