
MIAMI, 14 Mac – Pemain Sweden, Ludvig Aberg mendahului saingan The Players selepas mencatat sembilan bawah par 63 pada pusingan kedua semalam.
- Aberg kini memiliki kelebihan dua pukulan berbanding Xander Schauffele selepas 36 lubang.
- Dia mencatat dua eagle dan enam birdie dengan hanya satu bogey untuk 12 bawah par keseluruhan.
- Aberg memburu gelaran PGA Tour ketiga selepas memenangi RSM Classic 2023 dan Genesis Invitational tahun lalu.
Aberg melakukan dua eagle dan enam birdie dengan hanya satu bogey untuk mengumpul 12 bawah par 132 selepas 36 lubang di TPC Sawgrass, Florida.
Pemain itu kini memiliki kelebihan dua pukulan ke atas pencabar terdekatnya, Xander Schauffele yang mencatat 65 pada pusingan kedua bagi keseluruhan 134.
Seorang lagi pemain Amerika Syarikat, Cameron Young berada di tempat ketiga dengan 135 pukulan, manakala Corey Conners dan Justin Thomas berkongsi kedudukan keempat dengan 136.
Aberg memulakan permainan dengan cemerlang apabila mencatat birdie di lubang pertama sebelum melakukan eagle di lubang kedua serta birdie di lubang ketiga dan keempat.
Pemain bersuai 26 tahun itu kemudian menambah satu lagi eagle di lubang kesembilan sebelum menamatkan saingan dengan birdie di lubang ke-16 dan ke-18 bagi memastikan kedudukan teratas.
Aberg kini memburu gelaran ketiga dalam jelajah PGA Tour selepas memenangi The RSM Classic pada 2023 dan Genesis Invitational tahun lalu.
Sementara itu, pemain nombor satu dunia Scottie Scheffler dan juara bertahan Rory McIlroy kedua-duanya mencatat keseluruhan 145 pukulan untuk melepasi cut dengan kelebihan satu pukulan.
McIlroy berkata dia tidak lagi diganggu kecederaan belakang yang memaksanya menarik diri daripada kejohanan minggu lalu di Bay Hill.-AFP