Kelayakan Piala Asia: Peluang Malaysia kian tipis

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Hukuman Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menarik balik dua kemenangan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 disifatkan memakan diri hingga hampir menutup peluang ke final.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hukuman dianggap detik pahit hasil kesilapan sendiri yang memakan diri dan menimbulkan penyesalan.
  • Penyokong wajar kecewa kerana kejayaan di padang dipadam akibat isu di luar permainan.
  • AFC mungkin mengenakan tindakan lanjut dan insiden ini mesti jadi titik perubahan dalam pengurusan bola sepak negara.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berpandangan, hukuman itu sebagai detik pahit ketika laluan ke kejohanan berkenaan sebelum ini dilihat semakin cerah.

“Apa lagi nak kita sesalkan. Inilah hukuman atas dosa yang kita buat, nasi telah menjadi bubur. Inilah hukuman atas kesilapan sendiri. Sepatutnya kita sudah layak ke Piala Asia tetapi tiba-tiba datang malapetaka yang kita undang sendiri,” katanya.

Menurutnya, kekecewaan penyokong adalah wajar kerana kejayaan di atas padang dipadam akibat isu di luar permainan.

Beliau bagaimanapun berharap pemain kekal profesional menjelang aksi terakhir menentang Vietnam di Hanoi walaupun berdepan tekanan penyokong tuan rumah.

“Saya harap pemain dapat melupakan isu ini dan menukarnya kepada tekad untuk membuktikan kemampuan sebenar skuad negara,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan risiko tindakan lanjut daripada AFC masih belum dapat dipastikan.

“AFC masih memberi ruang kepada FAM untuk menjawab, namun kita tidak pasti sama ada akan ada lagi hukuman selepas ini,” katanya.

Beliau menegaskan insiden itu perlu menjadi titik perubahan dalam pengurusan bola sepak negara bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.