
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Penjaga gol skuad kebangsaan, Muhammad Azri Abdul Ghani optimis mampu memberi sumbangan buat Harimau Malaya jika diberikan peluang pada aksi menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027.
- Peluang beraksi bersama Negeri Sembilan meningkatkan moral dan semangat Azri.
- Persaingan dengan Syihan Hazmi dan Haziq Aiman dianggap positif untuk pasukan.
- Pasukan kini berada pada tahap terbaik dan bersedia berikan persembahan mantap, sasar tiga mata.
- Nooa Laine yakin pasukan kuat, mahu menang walaupun perlawanan sukar; penyarungan jersi kebangsaan jadi kebanggaan.
Pemain berusia 26 tahun itu mengakui peluang beraksi bersama Negeri Sembilan sebelum ini menjadi faktor utama meningkatkan keyakinan serta momentum untuk kembali memperkukuhkan benteng terakhir skuad negara.
“Alhamdulillah, peluang beraksi bersama Negeri Sembilan banyak membantu meningkatkan moral dan semangat saya dalam setiap perlawanan,” katanya.
Biarpun berdepan persaingan sengit daripada Syihan Hazmi dan Haziq Aiman untuk merebut posisi itu, Azri tetap menganggapnya sesuatu yang positif buat pasukan.
Menurut Azri, secara keseluruhan pasukan kini berada pada tahap terbaik dan bersedia memberikan persembahan terbaik di tempat lawan.
“Kualiti pemain yang kita ada cukup baik. Saya harap dalam kem kali ini kita dapat bersaing dengan lebih mantap dan seterusnya membawa pulang tiga mata untuk negara,” ujarnya.
Bagi pemain tengah, Nooa Laine perlawanan berdepan Vietnam bukan tugas mudah namun beliau yakin dengan kemampuan pasukan.
“Setiap perlawanan saya mahu menang. Ini akan menjadi aksi yang sukar di tempat lawan, tetapi kami mempunyai pasukan yang kuat dan saya percaya kami mampu meraih kemenangan,” jelasnya.
Tambah Laine, peluang menyarung jersi kebangsaan sentiasa menjadi kebanggaan dan akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
Skuad Harimau Malaya dijadual berdepan Vietnam pada 31 Mac ini dengan misi menutup kempen kelayakan dengan keputusan positif biarpun peluang untuk layak ke kejohanan tersebut sudah tertutup.