
KOTA BHARU, 1 Februari – Pasukan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC meraih satu mata di laman sendiri selepas berjaya mengikat Penang FC dalam pertembungan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini malam tadi.
- Kelantan TRW menyamakan kedudukan menerusi Albert Kang pada masa kecederaan untuk seri 1-1.
- Penang FC terlebih dahulu menjaringkan gol melalui Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-33.
- Penang bermain dengan 10 pemain selepas Ahmad Irfan dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
Jaringan penyamaan pemain tengah Kelantan TRW, Albert Kang berjaya menafikan kemenangan Penang FC menerusi gol awal Dylan Wenzel-Halls untuk keputusan seri 1-1.
Terdahulu pada babak pertama, Dylan Wenzel berjaya membuka jaringan buat pelawat pada minit ke-33.

Penang bagaimanapun terpaksa mengharungi baki kira-kira 30 minit perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan Ahmad Irfan Mohd Noor dilayangkan kad merah pada minit ke-57 setelah melakukan terjahan keras.
Kedudukan 0-1 itu kekal hingga ke waktu kecederaan separuh masa kedua, namun gol penyamaan Albert di minit-minit terakhir sebelum wisel penamat ditiup berjaya menyelamatkan tuan rumah daripada kekalahan.

Keputusan 1-1 itu menyaksikan Kelantan TRW kini ditangga ke-10 dengan 15 mata selepas 16 perlawanan, manakala Penang pula dikedudukan keenam liga selepas mengumpul 18 mata daripada 16 perlawanan.