
KUALA LUMPUR, 11 Februari– Status Sekolah Kurang Murid (SKM) tidak menghalang Sekolah Kebangsaan (SK) Kinchir, Paloh Hinai, Pekan, Pahang mencipta impak besar apabila pasukan ragbi yang baharu dibentuk muncul juara kategori Bowl dalam Kejohanan Ragbi Antarabangsa KL Tigers 10s di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
- SK Kinchir, sekolah kurang murid, muncul juara kategori Bowl dalam KL Tigers 10s walau penyertaan sulung.
- Komitmen guru, sokongan ibu bapa dan penglibatan guru besar jadi pemangkin kejayaan murid.
- Penyertaan inklusif (murid orang asli) dan pengalaman antarabangsa membina sahsiah, disiplin dan keyakinan diri.
Dengan hanya kira-kira 115 murid dan 15 guru, sekolah luar bandar itu membuktikan saiz bukan penentu kejayaan, sebaliknya komitmen guru dan kesungguhan murid menjadi pemangkin utama kemenjadian pelajar secara holistik.
Menurut jurulatih yang juga guru di sekolah tersebut, Hafizuddin Hamdan Rus, usaha itu bagi memastikan murid berpeluang bersaing.
“Kami mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa serta pentadbir. Lebih-lebih lagi guru besar, Abdul Murad Awang yang turut turun padang bagi melihat sendiri murid-murid berlatih”.
Tambahnya, ia sekali gus membuka ruang pembangunan sahsiah, disiplin dan keyakinan diri murid lebih-lebih lagi selepas mendapat pendedahan sedemikian rupa.
Penyertaan sulung SK Kinchir dalam KL Tigers 10s pada 7 hingga 8 Februari 2026 lalu menyaksikan mereka bersaing bersama lebih 40 sekolah dan kelab dari dalam serta luar negara dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
SK Kinchir menghantar pasukan Bawah 8 tahun, Bawah 13 perempuan dan Bawah 12 lelaki, termasuk penyertaan murid orang asli, dengan dua pemain dalam pasukan perempuan dan enam daripada 12 pemain bagi pasukan lelaki.
Kejayaan tersebut menjadi bukti bahawa keterbatasan kemudahan dan jumlah murid bukan halangan, malah boleh menjadi kekuatan untuk membina jati diri, daya tahan dan kecemerlangan generasi muda.