Kebajikan legenda emas Komanwel, G. Saravanan jadi keutamaan KBS

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari menziarahi bekas atlet olahraga (lumba jalan kaki) negara, G. Saravanan yang kini menghidap penyakit saraf tunjang.

BUKIT MERTAJAM, 12 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperincikan bentuk bantuan bulanan yang bakal disalurkan kepada bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, G. Saravanan, bagi meringankan beban kos perubatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saravanan menghidap penyakit saraf tunjang MND sejak 2021, hilang keupayaan bertutur dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
  • Menteri Belia dan Sukan melawat, memberikan sumbangan tunai; KBS bersama YAKEB memberi perhatian khusus kepada kebajikan Saravanan.
  • Isteri terpaksa berhenti kerja untuk menjaga beliau; Saravanan kini tidak boleh berjalan dan diberi makan melalui tiub.

Saravanan, 56 tahun, kini menghidap penyakit saraf tunjang atau Motor Neuron Disease (MND) sejak tahun 2021, yang menyebabkan beliau hilang keupayaan untuk bertutur dan bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Keadaan kesihatan bekas atlet lumba jalan kaki negara itu mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari yang meluangkan masa menziarahi Saravanan di kediamannya, hari ini.

“Hari ini juga kita membawa sedikit sumbangan kewangan daripada pihak Yakeb dan saya secara peribadi memberikan sedikit bantuan tunai.

“Kita melihat juga keperluan saudara Saravanan ini secara bulanannya, apakah yang dia perlukan dari segi kos fisioterapi, perubatan, keperluan penjagaan diri dan lain-lain. Semua ini kita teliti dan kita cuba untuk mendapatkan sumbangan serta bantuan yang secukupnya untuk saudara Saravanan,” katanya.

Dr. Mohamed Taufiq menegaskan, menerusi kerjasama antara KBS dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), kebajikan legenda sukan itu akan diberikan perhatian khusus.

Sementara itu, isteri Saravanan, M. Sasikala yang terpaksa berhenti kerja demi menguruskan suami sepenuhnya, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan pihak kerajaan.

“Buat masa ni keadaan dia stabil… sekarang boleh bernafas mula bernafas pagi pagi semua tak guna ventilator pakai ventilator.. tapi makan semua dengan menggunakan feeding spoon,” katanya mengenai perkembangan terkini suaminya.

Saravanan yang juga merupakan bekas jurulatih Pulau Pinang kini tidak lagi mampu berjalan dan terpaksa diberi makan melalui tiub yang disambungkan ke tekak bagi kelangsungan hidup.