
KUALA LUMPUR, 22 Februari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan gerak kerja menyeluruh bagi mewujudkan jawatankuasa belia di setiap masjid sebagai usaha memperkasakan pembangunan generasi muda secara bersepadu.
- Menubuhkan jawatankuasa belia di setiap masjid untuk memperkasakan pembangunan generasi muda secara bersepadu.
- Kerjasama KBS dan Kementerian Agama: pengisian kerohanian di masjid, KBS fokus kepimpinan dan pembinaan sahsiah.
- Inisiatif dimulakan di Wilayah Persekutuan, dengan rancangan peluasan; fokus kesinambungan pembangunan atlet pelapis negara.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, inisiatif itu bukan hanya tertumpu sepanjang Ramadan, malah akan dilaksanakan sepanjang tahun dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Menurut beliau, kementerian agama akan mengisi pengisian berbentuk kerohanian, manakala KBS akan menumpukan kepada program pembangunan kepimpinan dan pembinaan sahsiah.
“Peranan masjid bukan hanya tempat beribadah, tetapi institusi untuk melahirkan generasi cemerlang, khususnya anak muda yang mampu menggantikan pimpinan negara suatu hari nanti,” katanya.
Beliau menjelaskan idea penubuhan jawatankuasa belia di peringkat masjid itu tercetus hasil saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu masjid berperanan lebih luas dalam membina jati diri belia.
Inisiatif itu akan dimulakan di Wilayah Persekutuan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Belia dan Sukan turut memaklumkan pertemuan bersama Tengku Zafrul Abdul Aziz berlangsung dalam suasana positif bagi memperkukuh pembangunan sukan negara.
Beliau berkata, fokus utama adalah melahirkan lebih ramai atlet pelapis dan tidak hanya bergantung pada atlet sedia ada.
“Kita mahu pastikan kesinambungan. Siapa yang akan menggantikan atlet hari ini, itu yang perlu kita rancang dari sekarang,” katanya.
Selain itu, Dr Mohammed Taufiq turut menyentuh persiapan menghadapi kejohanan utama termasuk Thomas Cup, dengan kementerian memberi jaminan sokongan penuh kepada semua persatuan sukan.
Mengulas mengenai pemain profesional Lee Zi Jia, beliau berharap atlet itu dapat mempertimbangkan untuk terus beraksi demi negara, tertakluk pada perbincangan antara pemain dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Tegasnya, KBS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha melahirkan generasi atlet cemerlang yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.