KBS harap kerajaan negeri, PKBM main peranan senggara Velodrom Rakyat di Ipoh

Foto PKBM

PUTRAJAYA, 14 Januari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap kerajaan negeri Perak serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dapat memainkan peranan dalam
menyenggara Velodrom Rakyat di Ipoh supaya kemudahan tersebut dimanfaatkan oleh atlet serta masyarakat setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS berharap kerajaan negeri Perak dan PKBM ambil peranan menyenggara Velodrom Rakyat di Ipoh untuk manfaat atlet dan komuniti.
  • Velodrom dibina 1989 dan berada atas tanah milik kerajaan negeri serta di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh.
  • KBS sebelum ini memperuntukkan RM12.7 juta semasa SUKMA Perak 2018 untuk naik taraf fasiliti tersebut.
  • PKBM menggesa campur tangan segera KBS kerana velodrom dilaporkan dalam keadaan kritikal dan berbahaya untuk digunakan.

Dalam satu kenyataan, KBS menegaskan sukan tersenarai dalam senarai bersama Perlembagaan Persekutuan, justeru tanggungjawab pembangunan sukan serta fasiliti perlu dipikul secara bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Menurut KBS, velodrom berkenaan yang siap dibina pada 1989 terletak di atas tanah milik kerajaan negeri dan ia adalah milik kerajaan negeri di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Semasa penganjuran SUKMA Perak 2018, Kerajaan Persekutuan melalui KBS memperuntukkan dana sebanyak RM12.7 juta untuk menaik taraf fasiliti tersebut selari dengan tanggungjawab bersama untuk memajukan sukan negara.

Laporan media sebelum ini memaklumkan PKBM menggesa campur tangan segera KBS bagi menyelamatkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang disifatkan berada pada tahap kritikal, tidak selamat dan berbahaya untuk digunakan.