KBS akan bincang isu penyiaran Piala Dunia 2026

Gambar hiasan./foto AFP

SUNGAI PETANI, 12 April – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan berhubung cadangan penyiaran perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Desakan awam agar Piala Dunia ditayangkan secara langsung di stesen penyiaran tempatan.
  • Keputusan berkaitan hak penyiaran mesti menilai implikasi kewangan dan persetujuan antara pihak berkaitan.
  • Hak penyiaran melibatkan kos serta perbincangan antara syarikat penyiaran, kementerian dan pihak luar; KBS akan menyampaikan pandangan.
  • Piala Dunia 2026 akan dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, melibatkan 48 pasukan kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari berkata, kehangatan edisi kali ini semakin dirasai sehingga wujud desakan agar kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu turut disiarkan secara langsung menerusi stesen penyiar tempatan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai hak penyiaran perlu meneliti pelbagai faktor, terutamanya melibatkan implikasi kewangan dan persetujuan antara pihak berkaitan.

“Sebenarnya ini adalah antara pihak penyiaran, kementerian yang berkaitan dan juga FIFA.

“Sudah pasti hak penyiaran itu melibatkan kos dan perbincangan antara syarikat penyiaran serta kementerian berkaitan dengan pihak luar. Bagaimanapun, di pihak KBS sendiri, kami melihat banyak desakan daripada masyarakat agar Piala Dunia FIFA disiarkan di negara ini. Justeru, perbincangan akan dilakukan dan saya akan menyampaikan pandangan ini kepada kementerian berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis di Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Menurut Dr. Mohamed Taufiq, walaupun beliau memahami harapan tinggi peminat sukan tanah air untuk menyaksikan aksi bertaraf dunia itu di kaca televisyen tempatan, aspek kos tetap menjadi pertimbangan utama kerajaan.

Piala Dunia FIFA 2026 buat julung kalinya akan dianjurkan secara bersama oleh tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico, melibatkan penyertaan 48 pasukan kebangsaan.