
SEPANG, 13 April– Pelumba Hong Leong Yamaha Racing, Kasma Daniel Kasmayudin bangkit menebus kekecewaan semalam apabila meraih kemenangan dalam kategori SS600 pada pusingan kedua Kejuaraan Lumba Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, pada Ahad (12 April).
Pelumba berusia 25 tahun itu mempamerkan tunggangan konsisten untuk menguasai perlumbaan, sekali gus kembali ke landasan kemenangan selepas sekadar menduduki tempat ketujuh pada perlumbaan pertama akibat masalah jentera.
Kejayaan tersebut menjadi suntikan semangat buat Kasma untuk mengekalkan momentum positif bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“Kemenangan ini sememangnya amat saya perlukan untuk menaikkan semula semangat. Saya akan mengekalkan momentum ini bagi pusingan akan datang dan terus memperkukuh kerjasama dengan pasukan,” kata Kasma kepada pemberita selepas menamatkan perlumbaan kedua pusingan satu di SIC, di sini.
Dalam perlumbaan tersebut, pelumba IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Md Helmi Azman, menduduki tempat kedua dengan perbezaan 1.442 saat manakala, pelumba Honda Racing Thailand, Thanat Laoongplio, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Kemenangan itu membuktikan kebangkitan semula Kasma dalam misi memburu gelaran juara keseluruhan musim ini.