
KUALA LUMPUR, 12 April – Status bukan pilihan bukan penghalang buat skuad sepak takraw Selangor menjulang Piala Emas Khir Johari, hari ini.
- Kekuatan mental pemain jadi kunci kejayaan pasukan di pentas besar.
- Selangor menamatkan kemarau 15 tahun kejuaraan.
- Menewaskan Angkatan Tentera Malaysia 2-0 di final.
- Semangat berpasukan, strategi terancang dan bermain tanpa tekanan memberi kelebihan.
Kapten pasukan, Farhan Adam mendedahkan bahawa kunci utama kejayaan skuad Merah Kuning bukanlah terletak pada ramalan awal, sebaliknya pada kekuatan mental barisan pemain dalam menggalas tanggungjawab di pentas besar.
Beliau mengakui Selangor sebelum ini tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan berbanding pencabar lain, namun faktor luaran tersebut langsung tidak menggoyahkan fokus pasukan untuk menamatkan kemarau 15 tahun kejuaraan.
“Kami mungkin dilihat berada di bawah (bukan pilihan), tetapi kami percaya dengan pengalaman yang ada serta sokongan pengurusan. Akhirnya kami berjaya merealisasikan impian untuk menjadi juara,” katanya selepas perlawanan.
Dalam aksi final di Stadium Titiwangsa itu, Selangor membuktikan bahawa ramalan di atas kertas tidak menjamin kejuaraan apabila berjaya menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 2-0.
Mengulas lanjut, Farhan menyifatkan kejayaan itu amat bermakna buat dirinya secara peribadi memandangkan kali terakhir Selangor menjulang trofi berprestij itu adalah pada tahun 2011 ketika beliau masih di awal karier.
“Untuk perlawanan hari ini, semua pemain memberikan 100 peratus komitmen dan mereka telah membuktikan bahawa Selangor merupakan sebuah pasukan yang kuat dalam saingan ini.
“Semua pasukan memasang impian untuk menjadi juara, namun bagi kami kejayaan ini hadir hasil strategi yang dirancang serta kesungguhan setiap pemain yang memberikan yang terbaik,” tambahnya lagi.
Beliau menjelaskan semangat berpasukan yang tinggi serta pendekatan bermain tanpa tekanan menjadi pemisah antara Selangor dengan pencabar lain sepanjang edisi ke-58 ini berlangsung.