Kabaddi makin menyinar, perlu sokongan lebih kukuh

Vikneshwar Agilan

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Sukan kabaddi di Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, namun sokongan lebih menyeluruh daripada pihak kerajaan dilihat penting bagi memastikan potensi bakat muda dapat digilap hingga ke peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Status kategori C membataskan peruntukan dan pembangunan sukan kabaddi.
  • Pencapaian di Sukan SEA (emas, perak, gangsa) menunjukkan potensi besar negara.
  • Pendedahan latihan bersama pasukan luar serta khidmat jurulatih asing diperlukan untuk meningkatkan kemahiran atlet.
  • Kerjasama erat antara kerajaan dan badan sukan penting untuk memperkukuh ekosistem dan melonjakkan Malaysia ke pentas antarabangsa.

Pengasas Black Panther Kabaddi Club merangkap bekas pemain kebangsaan, Vikneshwar Agilan berkata, status sukan berkenaan sebagai kategori C ketika ini membataskan usaha pembangunan, khususnya dari segi peruntukan dan sokongan.

“Ketika ini, sokongan yang diterima masih terhad. Namun, pencapaian di Sukan SEA yang menyaksikan kita meraih pingat emas, perak dan gangsa membuktikan potensi besar sukan ini.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita melangkah lebih jauh dengan menyasarkan kejohanan peringkat Asia dan Piala Dunia. Dengan sokongan padu daripada pihak berkaitan, saya yakin Malaysia mampu mencipta kejayaan lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kejohanan Ravana Kabaddi Cup 1.0 di ibu negara.

Menurut Vikneshwar, kejohanan itu menerima seramai 192 pemain dan dilihat sebagai platform penting dalam usaha mencungkil bakat baharu untuk menunjukkan kemampuan masing-masing.

Bagaimanapun pendedahan latihan bersama pasukan luar negara amat penting bagi meningkatkan kemahiran atlet tempatan.

“Negara seperti India dan Iraq mempunyai sistem latihan yang lebih intensif. Malaysia perlu mengambil peluang ini dengan mendapatkan khidmat jurulatih atau pengurusan pasukan dari luar bagi meningkatkan tahap permainan atlet kita,” katanya.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan bahawa India kekal sebagai rujukan utama dalam sukan kabaddi dunia, bukan sahaja dari segi prestasi, malah disiplin dan struktur pembangunan sukan tersebut.

Kejohanan Ravana Kabaddi Cup jelas membuktikan minat generasi muda terhadap sukan itu semakin meningkat. Justeru, kerjasama erat antara kerajaan dan badan sukan amat penting bagi memperkukuh ekosistem sukan kabaddi, sekali gus melonjakkan Malaysia ke pentas lebih kompetitif.