
MILAN, 10 April– Juventus secara rasmi mengumumkan pelantikan semula Luciano Spalletti sebagai ketua jurulatih selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menandatangani kontrak baharu selama dua tahun.
- Gaji lumayan sekitar €5 juta semusim mengukuhkan kedudukan beliau dan menunjukkan nilai yang dibayar kelab.
- Pengurusan menunjukkan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Spalletti, yang dikongsi beliau menerusi klip video bersama pemain.
- Tugas utama memastikan Juventus melayakkan diri ke Liga Juara-Juara; kini satu mata di belakang Como untuk slot keempat.
Pengendali berpengalaman itu dilaporkan bakal menerima gaji lumayan mencecah 5 juta euro (RM25.5 juta) semusim, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam usaha mengembalikan kegemilangan kelab gergasi Turin tersebut.
Keputusan itu dimaklumkan sendiri oleh Spalletti menerusi satu klip video yang dikeluarkan kelab, di mana beliau berkongsi berita gembira tersebut bersama barisan pemainnya.
Langkah tersebut membuktikan kepercayaan penuh pihak pengurusan terhadap kepimpinan beliau, yang sebelum ini dibawa masuk pada Oktober lalu bagi menggantikan Igor Tudor yang dipecat.
Tugas utama Spalletti sejak hari pertama adalah memastikan The Old Lady melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Pengurusan kelab ternyata tertarik dengan corak taktikal jurulatih berusia 67 tahun itu, yang sebelum ini pernah mengukir sejarah membawa Napoli menjulang kejuaraan Serie A pada tahun 2023.
Meskipun tempoh perkhidmatannya bersama skuad kebangsaan Itali sebelum ini dianggap hambar, Spalletti berjaya membuktikan sentuhannya masih berbisa di peringkat kelab.
Beliau kini meletakkan Juventus hanya satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Como, dalam persaingan sengit merebut slot ke kejohanan elit Eropah tersebut. -AFP