
MELAKA, 15 Mac – Satu jawatankuasa khas sedang mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan jumlah acara yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2027.
- Keputusan jumlah acara akan dibuat tidak lama lagi selepas perbincangan bersama semua pihak berkepentingan dimuktamadkan.
- Faktor utama dipertimbangkan: aspek logistik, kemampuan penganjuran dan potensi pingat sebelum menerima sebarang penambahan acara.
- Banyak rayuan untuk menambah acara diterima; setiap permohonan akan dinilai dengan teliti, bukan ditolak secara serta-merta.
- Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi utama Malaysia seperti Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat selepas perbincangan bersama semua pihak berkepentingan dimuktamadkan.
Menurut beliau, beberapa faktor penting perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat, termasuk aspek logistik serta kemampuan negara untuk menganjurkan acara tambahan.
“Perkara ini masih dalam perbincangan dan belum boleh diumumkan lagi. Apabila sudah dimuktamadkan, kita akan maklumkan.
“Banyak pihak mengemukakan rayuan untuk menambah acara sukan, namun kita tidak akan terus menolak permintaan tersebut. Kita perlu menilai pelbagai aspek termasuk logistik, kemampuan penganjuran serta potensi pingat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri di Masjid Al-Abrar, Semabok, di sini.
Terdahulu, Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima beberapa rayuan daripada persatuan sukan yang memohon agar acara sukan tertentu dimasukkan dalam temasya berkenaan.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung di beberapa lokasi utama di Malaysia, termasuk Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.