
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Kenneth Jonassen mengalu-alukan kepulangan Lee Zii Jia ke pentas kompetitif, sambil menyifatkan pemain profesional perseorangan lelaki itu sebagai seorang ‘bintang’ yang membawa kelainan dalam sukan badminton.
- Kepulangan Lee Zii Jia disambut baik dan dianggap sebagai bintang yang membawa kelainan kepada badminton Malaysia.
- Kembalinya Zii Jia memberi lebih banyak pilihan kepada skuad menjelang Piala Thomas 2026.
- Keputusan kejohanan berpasukan tidak boleh bergantung kepada satu pemain walaupun beliau membawa nilai tambah.
Jonassen berkata beliau tidak mahu menilai prestasi Zii Jia selepas beberapa penampilan terkininya, namun mengakui kehadiran semula bekas juara All England itu memberi petanda positif kepada badminton Malaysia.
“Bukan tugas saya untuk mengulas mengenai prestasinya. Sebagai peminat, apa yang boleh saya katakan ialah amat menggembirakan melihat dia kembali beraksi. Dia adalah bintang dalam sukan ini dan membawa sesuatu yang istimewa.
“Saya fikir kita semua dapat merasakan debaran apabila dia melangkah masuk ke stadium pada Terbuka Malaysia baru-baru ini, dengan para penyokong menunjukkan penghargaan terhadap apa yang telah dicapainya,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini, hari ini.
Pada 6 Jan lepas, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu membuat kemunculan semula selepas berehat selama 111 hari, namun tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas 12-21, 17-21 kepada pemain India, Ayush Shetty.
Nasib sama menimpa bekas juara Asia itu pada Terbuka India minggu lepas apabila sekali lagi tersingkir awal selepas kalah 13-21, 21-18, 18-21 kepada wakil Denmark, Rasmus Gemke.
Bagaimanapun, Zii Jia memperlihatkan sinar kebangkitan apabila menamatkan kemarau kemenangan selama 10 bulan untuk mara ke pusingan kedua Masters Indonesia yang sedang berlangsung, selepas menewaskan H.S. Prannoy dari India 21-19, 21-11, kelmarin.
Namun, kemaraan pemain kelahiran Kedah itu dalam kejohanan Super 500 berkenaan terhenti apabila tewas 21-15, 17-21, 8-21 kepada pemain Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul, di Istora Senayan, Jakarta.
Pemain berusia 27 tahun itu bergelut dengan kecederaan sejak mengalami masalah buku lali pada Final Jelajah Dunia Disember 2024, sebelum kembali beraksi pada Masters Orleans dan All England pada Mac lepas.
Dengan kecederaan buku lali yang masih belum pulih sepenuhnya, Zii Jia terpaksa berehat sekali lagi sebelum kembali ke gelanggang pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lepas.
Pada September, beliau beraksi di Terbuka Hong Kong sebelum menarik diri pada pusingan pertama China Masters akibat kecederaan belakang.
Susulan itu, Zii Jia membuat keputusan untuk berehat sepenuhnya bagi memberi tumpuan kepada pemulihan.
Mengulas persiapan menjelang Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei, Jonassen berkata kepulangan Zii Jia memberi lebih banyak pilihan kepada skuad Malaysia.
Namun, jurulatih berusia 51 tahun itu menegaskan kejayaan dalam kejohanan berpasukan tidak boleh bergantung kepada kehadiran seorang pemain semata-mata, termasuk Zii Jia.- BERNAMA