
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Ketua jurulatih skuad futsal Malayan Tigress, Jamhuri Zainuddin optimis mempersiapkan pasukan menjelang Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 dari 24 Februari hingga 2 Mac 2026 di Korat, Thailand.
- Jamhuri fokus tingkatkan kecergasan dan kekuatan mental pemain untuk Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN.
- Latihan pusat 10 hari di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebelum berlepas ke Thailand.
- Perkemas pertahanan dan strategi untuk hadapi serangan kuat Thailand dan Indonesia.
- Senarai akhir 14 pemain diumum 20 Februari, termasuk tiga pemain muda dipanggil kembali.
Beliau mahu memberi fokus kepada persiapan kecergasan dan mental pemain memandangkan mereka bakal berdepan dua jaguh Asia Tenggara iaitu Thailand dan Indonesia dalam Kumpulan A.
“Fokus saya bagi kem latihan pusat skuad futsal Malayan Tigress ini adalah dari segi kecergasan dan kekuatan mental,” katanya dalam hantaran di facebook rasmi FAM.
Sedar cabaran hebat menanti Malaysia, Jamhuri mahu memperkemas bahagian pertahanan skuad futsal Malayan Tigress selain memastikan anak buahnya turun dengan persembahan terbaik.
“Dari segi perancangan permainan, kita cuba untuk memberi fokus kepada serangan pasukan Thailand dan Indonesia.
“Walaupun berdepan cabaran hebat berdepan dua pasukan handalan itu, barisan kejurulatihan akan memastikan saingan terbaik diberikan oleh para pemain.
“Realistiknya, kedua-dua pasukan ini memiliki skuad dan persiapan yang lebih baik berbanding Malaysia, namun kita bakal berjuang sehabis baik,” katanya.
Pasukan futsal wanita kebangsaan memulakan latihan pusat selama 10 hari bermula 10 Februari lalu di Arena Futsal FAM, Kelana Jaya sebelum senarai akhir 14 pemain berlepas ke Thailand pada 20 Februari.
Daripada senarai 18 pemain ini, hanya enam pemain dari skuad Sukan SEA 2025 di Thailand Disember lalu dikekalkan dan beberapa pemain yang pernah disenaraikan sebelum ini dipanggil termasuk pemain dari skuad bola sepak wanita kebangsaan.
Jamhuri turut membuka peluang kepada tiga pemain muda negara, Nur Farah Wahida Norlee dan Thivyashini Jegatesan dari MBSJ FC serta Nur Harizah Mohd Zaini (UiTM Lioness FC) bersama skuad futsal wanita negara pada panggilan kali ini.
Skuad Malayan Tigress bakal membuka tirai saingan menentang Indonesia pada 25 Februari, disusuli aksi berdepan Thailand pada 26 Februari.
Kedua-dua perlawanan bakal berlangsung di Terminal 21 Korat, Thailand.