
ALOR SETAR, 31 Mac– Kemelut kewangan Kedah Darul Aman (KDA) FC kini dilaporkan semakin meruncing apabila pegawai pasukan yang juga bekas pemain legenda, Nelson San Martin mendedahkan beliau sedang berdepan masalah kewangan yang serius.
- Nelson dakwa belum terima tunggakan gaji kontrak lama dan dua bulan selepas tandatangan kontrak baru November lalu.
- Sejak Januari 2026 beliau hampir langsung tidak dibayar, usaha menghubungi kelab tiada jawapan, pejabat sukar dijejaki.
- Menghadapi isu undang-undang di Chile, sukar menyara keluarga dan bayar sewa; mohon pemilik kelab hubungi untuk berbincang.
- Beliau tetap menyatakan cinta kepada Kedah dan mahu terus berkhidmat; memohon ihsan orang ramai melalui kod QR Touch 'n Go.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya pada Isnin (30 Mac), Nelson mendakwa bukan sahaja tidak menerima tunggakan gaji daripada kontrak lama, malah belum menerima bayaran selama dua bulan selepas menandatangani kontrak baharu pada November tahun lalu.
“Sejak Januari 2026, saya hampir langsung tidak dibayar gaji. Saya cuba menghubungi kelab, namun tiada sebarang maklum balas diterima, malah pejabat KDA FC juga sukar untuk dijejaki bagi tujuan aduan,” katanya.
Warga Chile itu turut meluahkan tekanan yang dihadapinya ekoran isu undang-undang di negara asal yang memerlukan penyelesaian segera, selain kesukaran menyara keluarga serta membayar sewa rumah.
“Sebagai bapa, saya sangat tertekan kerana tidak mampu menyediakan keperluan asas keluarga. Saya berharap pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dapat menghubungi saya untuk berbincang secara baik bagi menyelesaikan isu ini,” tambahnya.
Walaupun dihimpit kesukaran, Nelson tetap menyatakan rasa cintanya terhadap Kedah dan berhasrat untuk terus berbakti sebagai jurulatih di Malaysia.
Beliau turut memohon ihsan dan sumbangan orang ramai menerusi kod QR Touch ‘n Go yang disertakan dalam hantaran tersebut bagi meringankan beban yang ditanggungnya ketika ini.