Isu gabungan FTAA: MA terima permohonan tidak lengkap

Olahraga Malaysia (MA)

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Olahraga Malaysia (MA) telah menerima permohonan berkaitan dengan isu status gabungan yang dikemukakan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan (FTAA) beberapa hari sebelum Aidilfitri, namun beberapa dokumen sokongan yang diperlukan tidak disertakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembentukan FTAA mesti ada wakil sah Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; penggabungan disemak oleh Majlis MA mengikut Perlembagaan dan prosedur tadbir urus.
  • MA mengalu-alukan bimbingan pihak berkuasa termasuk Pesuruhjaya Sukan dan kekal komited menegakkan prinsip tadbir urus baik serta integriti sukan.
  • MA memberi jaminan tiada atlet atau pegawai terjejas; atlet layak terus disokong dan pegawai boleh menyertai Peperiksaan Pegawai Teknikal.

Dalam kenyataan hari ini, MA memaklumkan bahawa di bawah Perlembagaan, pembentukan FTAA perlu merangkumi perwakilan yang sah dari Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, manakala proses penggabungan harus melalui semakan sewajarnya oleh Majlis MA selaras dengan prosedur tadbir urus persatuan.

Menurut MA, permohonan diterima selepas Mesyuarat Majlis MA pada awal Mac dan perkara itu kemudian dibentangkan kepada mesyuarat majlis seterusnya untuk dipertimbangkan.

“Oleh itu, semua pihak digesa untuk membenarkan proses ini berjalan mengikut Perlembagaan MA dan amalan tadbir urus yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

MA mengalu-alukan penglibatan dan bimbingan daripada pihak berkuasa berkaitan termasuk Pesuruhjaya Sukan dan kekal komited dalam menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan integriti sukan demi kepentingan pembangunan olahraga negara.

Pada masa yang sama, MA memberikan jaminan bahawa tiada atlet atau pegawai yang tidak mendapat manfaat sepanjang proses ini.

Badan pentadbir kebangsaan itu menjelaskan atlet dari Wilayah Persekutuan yang layak untuk pertandingan akan datang terus mendapat sokongan dan tidak akan dikecualikan, manakala pegawai tidak terlepas peluang untuk menyertai Peperiksaan Pegawai Teknikal yang dijadualkan pada April ini.

MA memaklumkan bahawa tumpuan atlet seharusnya kekal pada prestasi, pembangunan dan perpaduan, bukannya kontroversi yang tidak perlu yang boleh menjejaskan reputasi dan kemajuan sukan di negara ini.