
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Jaguh lempar cakera lelaki negara Muhammad Irfan Shamsuddin dan ratu lontar tukul besi wanita Grace Wong Xiu Mei menjadi sandaran Olahraga Malaysia (MA) pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
- Muhammad Irfan kini menjalani kem latihan di Croatia dengan jurulatih peribadi sebagai persediaan Sukan Asia.
- Grace sedang berlatih di China untuk persediaan menghadapi Sukan Asia dan menambah pengalaman antarabangsa.
- Irfan raih emas ketujuh berturut-turut di Sukan SEA 2025 dan pecah rekod temasya dengan lontaran 60.23m.
- Grace kekal ratu lontar tukul besi SEA kali ketiga berturut-turut, memecah rekod kebangsaan dan Sukan SEA 65.41m.
Setiausaha Agung MA, Norhayati Karim berkata Muhammad Irfan dan Grace ketika ini masing-masing sedang berguru di luar negara sebagai persiapan untuk menyerlah pada edisi ke-20 temasya sukan empat tahun sekali yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
“Muhammad Irfan ketika ini sedang menjalani kem latihan di Croatia di bawah kendalian seorang jurulatih peribadi manakala Grace pula sedang berlatih di China untuk persediaan ke Sukan Asia,” katanya.
Muhammad Irfan meneruskan dominasi apabila meraih pingat emas ketujuh berturut-turut pada Sukan SEA 2025 di Thailand.
Atlet berusia 30 tahun dari Negeri Sembilan itu bukan sahaja meraih emas tetapi turut mencipta sejarah peribadi apabila memecahkan rekod temasya dengan lemparan sejauh 60.23 meter (m), memadamkan rekod lama 59.50m milik bekas jaguh Singapura James Wong Tuck Yim pada Sukan SEA 1999 di Brunei.
Pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m yang dilakukannya pada 2017 di Austria berkenaan pernah berada di kedudukan ke-12 pada Sukan Asia 2014 di Incheon dengan catatan 53.86m, tempat kelima pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang (57.70m) dan tangga keenam pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou (58.94m).
Sementara itu, Grace yang belum pernah menjejakkan kaki ke Sukan Asia pula mengekalkan statusnya sebagai ratu lontar tukul besi wanita Asia Tenggara buat kali ketiga berturut-turut dengan mempertahankan emas pada Sukan SEA 2025.
Beliau turut memecahkan rekod kebangsaan dan Sukan SEA miliknya dengan lontaran sejauh 65.41m.
Lontaran atlet Sarawak itu memadam rekod Sukan SEA, iaitu 61.87m dilakukannya di Phnom Penh 2023, selain memperbaharui rekod kebangsaan 63.53m yang dilakar pada Terbuka Malaysia di Kangar, Ogos lepas. – BERNAMA