Iran mungkin tidak sertai Piala Dunia 2026

Presiden FFI, Mehdi Taj memberi bayangan bahawa Iran mungkin tidak akan menghantar pasukan bersaing pada Piala Dunia 2026./AFP

BERLIN, 11 Mac – Presiden Persatuan Bola Sepak Iran (FFI), Mehdi Taj, sekali lagi memberi bayangan bahawa Iran mungkin menarik diri daripada Piala Dunia FIFA lelaki 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Taj mempersoalkan penghantaran pasukan ke AS jika Piala Dunia menjadi sepolitik seperti di Australia.
  • Lima pemain wanita Iran diberi suaka Australia kerana bimbang dianiaya selepas enggan menyanyikan lagu kebangsaan.
  • Iran akan bertemu Belgium, New Zealand dan Mesir; semua perlawanan peringkat kumpulan berlangsung di Amerika Syarikat.
  • AS menolak visa Taj dan sekurang-kurangnya enam pegawai FFI semasa cabutan undi, walaupun Trump umum pengecualian bagi atlet dan keluarga.

“Siapa yang waras akan menghantar pasukan kebangsaan mereka ke Amerika Syarikat jika Piala Dunia akan sepolitik seperti yang berlaku di Australia?” kata Taj.

Lima pemain pasukan wanita kebangsaan Iran telah diberikan suaka oleh Australia kerana bimbang mereka menghadapi penganiayaan jika pulang ke Iran selepas tidak menyanyikan lagu kebangsaan sebelum perlawanan pertama mereka pada Piala Asia di Gold Coast.

Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dijadual bermula pada 11 Jun.

Berdasarkan undian kejohanan, Iran akan bertemu Belgium, New Zealand dan Mesir dalam peringkat kumpulan, dengan semua perlawanan berlangsung di Amerika Syarikat.

Iran termasuk antara beberapa negara yang warganya tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat, namun Presiden Donald Trump menyatakan pengecualian akan dibuat bagi atlet, pegawai dan ahli keluarga semasa Piala Dunia dan Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat telah menolak visa Taj dan sekurang-kurangnya enam pegawai FFI lain bagi cabutan undi Piala Dunia di Washington pada Disember lalu. – BERNAMA