Insentif RM5,000 untuk pemenang pingat emas Deaflympics Tokyo 2025

Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn berkata insentif berkenaan bagi menghargai jasa dan pengorbanan atlet pekak negara./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) mengumumkan insentif RM5,000 kepada atlet yang memenangi pingat emas Deaflympics Tokyo 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • MSDeaf mengumumkan insentif RM5,000 untuk pemenang pingat emas Deaflympics Tokyo 2025.
  • Pemenang pingat perak dan gangsa akan menerima RM3,000 dan RM2,000 masing-masing.
  • Insentif turut diberikan untuk Sukan SEA Pekak 2025 serta ganjaran dari Majlis Sukan Negara.

Presiden MSDeaf, Dr. Ong Shin Ruenn berkata insentif berkenaan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan atlet pekak yang telah berusaha membawa pingat untuk negara.

Selain pingat emas, Ong berkata atlet yang memenangi pingat perak dan gangsa turut menikmati insentif berkenaan masing-masing RM3,000 dan RM2,000 seorang.

“Untuk Sukan SEA Pekak 2025 kami akan memberi ganjaran RM2,000 seorang,” katanya kepada pemberita pada sidang media MSDeaf di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Ong berkata Majlis Sukan Negara (MSN) juga akan memberikan ganjaran kepada pemenang pingat pada temasya Deaflympics Tokyo dan Sukan SEA Pekak 2025.

Sementara itu, Ong memaklumkan MSDeaf akan menganjurkan majlis Anugerah Sukan Pekak Negara 2025 (ASPN 2025) pada Khamis ini, dan insentif turut disampaikan pada malam itu.

Beliau berkata sebanyak lapan anugerah utama akan disampaikan pada ASPN 2025 iaitu Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Jurulatih Kebangsaan, Anugerah Khas, Anugerah Atlet Harapan Lelaki dan Wanita serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati. – BERNAMA