
KUALA TERENGGANU, 14 Mac – Pasukan Hoki Terengganu (THT) mengakui bakal berdepan cabaran getir dalam misi mempertahankan gelaran juara trebel musim 2026 apabila kehilangan dua tonggak utama.
- THT memulakan latihan lebih awal sejak akhir tahun lepas.
- TNB menjadi pesaing utama selepas mengambil tiga tonggak kebangsaan dan kira-kira 15 pemain Malaysia.
- THT mengekalkan 90 peratus pemain lama dan merekrut import baru dari India serta Afrika Selatan.
- Fokus awal kepada Piala Sumbangsih pada 11 April di Stadium Hoki Batu Buruk dan menetapkan sasaran secara berperingkat.
Presiden THT Mohd Fikri Harun berkata dua pemain itu ialah penyerang kebangsaan Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan Syarman Mat Tee yang berhijrah ke pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Beliau bagaimanapun berkata kekurangan itu tidak akan melemahkan semangat THT yang telah pun memulakan latihan lebih awal, iaitu pada akhir tahun lepas.
“Tahun ini cukup mencabar terutama daripada pesaing terdekat, iaitu TNB kerana tiga tonggak utama yang juga pemain Malaysia telah berhijrah ke pasukan itu. Malah saya difahamkan lebih kurang 15 pemain Malaysia berada dalam pasukan TNB.
“Kami ambil itu sebagai satu cabaran yang sihat dan membuat persiapan awal termasuk latihan di dalam dan luar Terengganu. Insya-Allah dengan kemampuan pemain yang ada, kami mampu mengharungi cabaran yang ada bermula dengan Piala Sumbangsih pada 11 April nanti,” menurutnya.
Mohd Fikri berkata, bagi mengharungi Liga Hoki Malaysia (MHL) kali ini, THT yang dibimbing oleh Mohd Harfizi Baharom masih mengekalkan 90 peratus pemain lama dan merekrut beberapa tonggak import baharu dari India dan Afrika Selatan bagi memperkuat pasukan.
Selain itu, THT juga bakal diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang kebangsaan Firhan Ashari yang juga anak jati Terengganu.
“Buat masa sekarang, kami fokus kepada Piala Sumbangsih yang akan berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.
“Kami perlu realistik dengan sasaran dan pencapaian semasa dahulu. Daripada tiga piala, kami fokus satu dahulu dan lihat perkembangan dari semasa ke semasa untuk tetapkan sasaran lain,” katanya.-BERNAMA