
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menumpukan usaha memperkukuh aspek fizikal pemain sebagai persediaan utama menjelang kempen All England 2026, dengan keyakinan pendekatan itu mampu meningkatkan daya saing pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
- Herry tingkatkan latihan fizikal fokus kardio, kekuatan dan kepantasan untuk persiapan All England 2026.
- Aaron-Soh Wooi Yik dilihat lebih bersemangat dan bersedia selepas peningkatan intensiti latihan.
- Mereka mempunyai peluang cabar juara Korea jika dapat ulangi prestasi seperti di final Terbuka Malaysia 2026.
Beliau berkata peningkatan latihan fizikal merangkumi kardio, kekuatan dan kepantasan diberi penekanan bagi memastikan pemain berada pada tahap optimum menghadapi kejohanan berintensiti tinggi seperti All England di Birmingham, Mac ini.
“Respons pemain sangat positif. Sejak kita tambah baik latihan fizikal, saya lihat mereka lebih bersemangat dan bersedia untuk menghadapi All England kali ini,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Bukit Kiara, hari ini.
Herry berkata persiapan itu bermula lebih awal dengan Terbuka Jerman dari 24 Feb hingga 1 Mac, sebelum tumpuan sepenuhnya diberikan kepada All England 2026 yang berlangsung dari 3 hingga 8 Mac.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan pertemuan semula antara Aaron-Wooi Yik dan beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sekiranya kedua-dua pasangan mara ke perlawanan akhir kejohanan berprestij itu.
Menurutnya, pasangan negara itu mempunyai keupayaan untuk menyaingi juara bertahan berkenaan sekiranya mampu mengulangi tahap permainan seperti dipamerkan pada final Terbuka Malaysia 2026.
Untuk rekod, pada 11 Jan lalu, Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang dua pingat gangsa Sukan Olimpik tewas kepada Won Ho-Seung Jae 15-21, 21-12, 18-21 pada aksi final Terbuka Malaysia 2026.
Kekalahan itu menyaksikan pasangan negara tersebut tewas dua kali dalam tiga pertemuan menentang beregu nombor satu dunia berkenaan.
Aaron-Wooi Yik sebelum ini muncul naib juara All England pada edisi 2019 dan 2024, sekali gus meletakkan harapan tinggi agar persiapan rapi kali ini mampu diterjemahkan kepada pencapaian lebih baik.