Herry kecewa Hon Jian-Haikal tarik diri Terbuka Switzerland

Pasangan muda beregu lelaki negara, Choong Hon Jian (kiri), Muhammad Haikal Nazri – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi kesal dengan keputusan pasangan muda beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri menarik diri daripada kejohanan badminton Terbuka Switzerland yang sedang berlangsung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketua jurulatih Herry kecewa pasangan beregu tarik diri Terbuka Switzerland; penarikan bukan dirancang oleh barisan kejurulatihan.
  • Haikal memaklumkan tidak mahu bermain; laporan kecederaan, tetapi Herry tidak melihat tanda jelas semasa latihan dan menyerah kepada pengurusan.
  • Herry mahu pemain lain terus fokus latihan dan persiapan sementara pasangan itu gagal memperbaiki prestasi selepas All England.

Menurut beliau, keputusan itu bukan dirancang oleh barisan kejurulatihan sebaliknya dibuat oleh pemain sendiri.

Herry berkata, beliau mengharapkan pasangan ranking ke-30 dunia itu dapat beraksi di kejohanan berkenaan bagi memperbaiki prestasi selepas aksi kurang memberangsangkan pada kejohanan All England, awal bulan lalu.

“Perkara itu bukan daripada saya. Kamu kena tanya pemain sendiri. Saya tidak suruh tarik diri, tetapi Haikal yang memaklumkan tidak mahu bermain. Jadi saya minta dia jelaskan perkara itu kepada pihak pengurusan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Terdahulu, pasangan berkenaan dilaporkan menarik diri daripada kejohanan yang sedang berlangsung minggu ini selepas Haikal dikatakan mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, Herry berkata beliau tidak melihat sebarang tanda kecederaan yang ketara ketika sesi latihan, namun menghormati keputusan pemain berkenaan.

“Saya dimaklumkan dia mengalami kecederaan. Jika cedera biasanya kita boleh nampak pada pergerakan atau keadaannya, tetapi saya serahkan perkara itu kepada pemain dan pengurusan,” katanya.

Tambah beliau, fokus ketika ini adalah memastikan pemain lain terus menjalani latihan dan persiapan seperti dirancang.

Pada aksi All England, Hon Jian-Haikal gagal meneruskan perjuangan selepas tewas kepada lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di pusingan pertama.