Healy bakal akhiri era gemilang bersama pasukan kriket wanita Australia

Bintang kriket Australia, Alyssa Healy bakal menamatkan karier antarabangsa / REUTERS

SYDNEY, 13 Januari – Tonggak utama kriket wanita Australia selama lebih 15 tahun, Alyssa Healy mengumumkan akan bersara daripada kriket antarabangsa selepas tamat perlawanan menentang India Mac depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Healy mengumumkan persaraan antarabangsa selepas siri menentang India Mac depan.
  • Beliau membantu Australia memenangi dua Piala Dunia ODI dan enam Piala Dunia T20.
  • Rekod peribadi termasuk tujuh century ODI, 3,563 larian ODI dan 3,054 larian T20.
  • Diiktiraf sebagai legenda yang memajukan kriket wanita dan mengilham generasi baharu.

Penjaga wiket merangkap pemukul berusia 35 tahun itu merupakan watak penting di sebalik era kegemilangan Australia, membantu pasukannya memenangi dua Piala Dunia One-Day International (ODI) dan enam Piala Dunia T20, sebelum dilantik sebagai kapten menggantikan Meg Lanning pada akhir 2023.

“Dengan perasaan bercampur-baur, siri menentang India ini akan menjadi yang terakhir buat saya bersama Australia,” kata Healy.

“Saya masih cintakan permainan ini, tetapi daya saing yang mendorong saya selama ini semakin pudar. Inilah masa yang tepat untuk mengundur diri.”

Sejak membuat penampilan sulung pada 2010, Healy telah mengumpul 3,563 larian dalam perlawanan ODI termasuk tujuh ‘centuries‘ serta 3,054 larian dalam format T20 antarabangsa.

Healy juga selain mencatat 275 penyingkiran sebagai penjaga wiket, satu pencapaian luar biasa yang mengukuhkan statusnya sebagai antara yang terbaik di dunia.

Healy membina namanya sendiri tanpa bersandar kepada reputasi bapa saudaranya, legenda kriket Ian Healy mahupun suaminya, pemain boling Australia, Mitchell Starc.

Pengumuman persaraannya disambut penghormatan meluas, termasuk daripada Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese yang menyifatkan Healy sebagai legenda sejati yang bukan sahaja menyerlah di padang, malah berperanan besar dalam memajukan kriket wanita dan memberi inspirasi kepada generasi baharu.-REUTERS