
MADRID, 12 Mac – Federico Valverde meledak hatrik pertama dalam kariernya untuk membantu Real Madrid mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Manchester City pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
- Keputusan meletakkan Manchester City dalam situasi sukar menjelang aksi timbal balik di Etihad.
- Manchester City bermula garang tetapi kerap terperangkap dalam serangan balas pantas Los Blancos, memanfaatkan ruang lawan.
- Donnarumma menangkis sepakan penalti; jurulatih Arbeloa puji mentaliti berpasukan dan kesatuan idea pemain.
Kemenangan di Stadium Santiago Bernabeu itu meletakkan skuad bimbingan Pep Guardiola dalam situasi sukar dan berdepan tugas berat menjelang aksi timbal balik di tempat sendiri nanti.
Manchester City bermula dengan garang pada awal permainan, namun sering terperangkap dengan serangan balas pantas Los Blancos.
Real membuka tirai jaringan pada minit ke-20 hasil hantaran jauh penjaga gol, Thibaut Courtois yang menemui Valverde di sayap kanan sebelum pemain Uruguay itu melepasi Gianluigi Donnarumma untuk gol pertama.
Tujuh minit kemudian, gandingan mantap Vinicius Jr dan Valverde sekali lagi membuahkan hasil apabila hantaran lintang Vinicius membolehkan Valverde melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan kencang ke gawang lawan.
Valverde melengkapkan hatrik pada minit ke-42 apabila serangan balas yang dimulakan oleh Brahim Diaz disudahkan dengan cantik menerusi rembatan voli selepas memperdayakan pertahanan City, Marc Guehi.
City cuba bangkit pada separuh masa kedua, namun Real hampir menambah gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Donnarumma menjatuhkan Vinicius di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun, Donnarumma berjaya menyelamatkan sepakan tersebut.-REUTERS

“Hari ini kami beraksi sebagai sebuah pasukan dalam erti kata yang sebenar, dan itulah yang diperlukan untuk memenangi sebarang perlawanan. Bilik persalinan ini penuh dengan pemain hebat, tetapi kita perlu menjadi pasukan yang hebat untuk menewaskan Manchester City.”
“Pemain perlu mempunyai mentaliti berpasukan. Mereka adalah pemain dengan kualiti istimewa, tetapi mereka akan menjadi lebih hebat jika mempunyai satu idea yang sama dan melaksanakannya seperti hari ini,” kata ketua jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa selepas perlawanan.
Keputusan 3-0 ini memberikan kelebihan selesa buat Real sebelum bertandang ke Stadium Etihad pada Selasa (17 Mac) bagi aksi menentukan slot ke suku akhir.-REUTERS