
KUALA LUMPUR, 30 MAC – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan isu di luar padang tidak sesekali mematahkan semangat pasukannya menjelang aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam esok.
- Skuad memberi tumpuan kepada perkara dalam kawalan selepas kekecewaan kempen kelayakan.
- Tempoh sukar jadi ujian kekuatan mental dan kesatuan; komitmen pemain dan kakitangan dipuji.
- Perlawanan penting untuk mata ranking dan maruah negara, walau cabaran menewaskan Vietnam di tempat lawan lebih 12 tahun.
Menurut beliau, meskipun skuad kebangsaan berdepan kekecewaan selepas gagal dalam kempen kelayakan, pasukan kini memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkara yang berada dalam kawalan mereka.
“Sudah tentu kami kecewa dan terkilan dengan keputusannya. Sesuatu yang benar-benar di luar kawalan kami telah menjejaskan peluang untuk layak. Tetapi untuk mempermudahkan keadaan, kami mengawal apa yang boleh kami kawal,” katanya pada sidang media pra perlawanan yang berlangsung di Vietnam.
Jelas Cklamovski, tempoh sukar yang dilalui sebenarnya menjadi medan terbaik untuk menguji kekuatan mental dan kesatuan pasukan dan turut memuji komitmen tinggi dipamerkan pemain serta barisan kejurulatihan sepanjang kem latihan.
“Dalam masa yang sukar, ia memberi peluang yang sangat baik untuk mengukur diri sebagai satu kumpulan. Saya sangat bangga dengan para pemain dan kakitangan serta komitmen yang mereka berikan,” tambahnya.
Dalam masa sama, beliau mengakui cabaran besar menanti apabila Malaysia tidak pernah menewaskan Vietnam di tempat lawan dalam tempoh lebih 12 tahun.
Malaysia kali terakhir mencatat kemenangan di tempat lawan ke atas Vietnam dengan kemenangan 4-2 pada perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan AFF 2014 di Hanoi.
“Kami sentiasa mempunyai mentaliti untuk memenangi perlawanan seterusnya, tidak kira menentang sesiapa. Malaysia tidak pernah menewaskan Vietnam di tempat lawan lebih 12 tahun, jadi itu satu cabaran untuk kami kejar,” jelasnya lagi.
Meskipun menjadi aksi pelengkap jadual, namun pertembungan dengan Vietnam kali ini tetap penting buat Harimau Malaya bagi mendapatkan mata untuk ranking dunia selain mengembalikan maruah bola sepak negara.
Harapan Malaysia untuk beraksi pada Pusingan Akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut musnah selepas dikenakan potongan enam mata oleh AFC.
Vietnam, yang telah layak ke Pusingan Akhir Piala Asia 2027, mendahului Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Malaysia di tempat kedua dengan sembilan mata. Laos dan Nepal masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat dengan tiga mata.
Baru-baru ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC mendapati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam.##