Harimau Malaya perlu buktikan kemampuan sebenar bertemu Vietnam

Harimau Malaya perlu buktikan kemampuan sebenar bertemu Vietnam.

KUALA LUMPUR , 30 MAC – Skuad Harimau Malaya akan berdepan cabaran getir apabila menentang Vietnam dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027 esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu buktikan kemampuan sebenar selepas musim penuh kontroversi pemain warisan dan kritikan yang menjejaskan moral pasukan.
  • Mental, disiplin dan semangat juang pemain menjadi penentu, sokongan pakar psikologi sukan penting untuk kekalkan keyakinan.
  • Keputusan seri dianggap pencapaian positif, manakala kemenangan menjadi bonus besar untuk pulihkan imej dan bina asas masa depan.

Perlawanan ini bukan sekadar penutup pusingan kelayakan, tetapi juga medan untuk membuktikan kemampuan sebenar pasukan negara selepas musim yang penuh kontroversi dan kritikan.

Isu pemain warisan yang dipersoalkan sebelum ini menimbulkan polemik dalam bola sepak tempatan, menjejaskan moral pasukan dan imej skuad negara.

Walaupun begitu, pasukan kini turun dengan barisan pemain tempatan, naturalisasi, dan warisan tulen, tanpa bergantung pada pemain yang sebelum ini menjadi kontroversi.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli menekankan bahawa mental dan semangat juang pemain akan menjadi faktor penentu perlawanan esok.

“Ini perlawanan ‘nothing to lose’, tetapi peluang untuk membuktikan bahawa skuad negara masih kompetitif. Pemain perlu bangkit dengan semangat juang tinggi dan menukar tekanan kepada motivasi,” katanya.

Menurut beliau sokongan daripada pakar psikologi sukan akan membantu pemain mengekalkan keyakinan, mengatasi kritikan dan provokasi lawan, serta tampil dengan persembahan terbaik di gelanggang lawan.

Vietnam dikenali sebagai salah satu lawan paling mencabar di Asia Tenggara.

Rekod pertemuan terdahulu menyaksikan Malaysia sering kecewa, namun jurang prestasi kedua-dua pasukan sebenarnya tidak terlalu besar.

Dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini menentang Bangladesh, Vietnam menunjukkan kemampuan sebenar dengan kemenangan bergaya 3-0, menurunkan pemain sayap berpengalaman seperti Nguyen Quang Hai, Pham Tuan Hai, serta pemain naturalisasi.

Namun begitu, dengan barisan pemain semasa, beliau berkata Harimau Malaya masih mampu memberikan cabaran sengit dan menyulitkan lawan, malah keputusan di luar jangkaan bukan sesuatu yang mustahil.

“Kalau kita melihat pada prestasi semasa skuad harimau malaya sekarang ini dengan pemain-pemain yang kita ada pemain warisan, pemain naturalisasi dan pemain tempatan terbaik yang disenaraikan kali ini saya tidak nampak kita tidak mampu untuk memberikan cabaran yang kuat kepada Vietnam” tambah beliau.

Secara realistik, keputusan seri sudah dianggap pencapaian positif bagi skuad negara.

Manakala kemenangan akan menjadi bonus besar, sekaligus menutup segala isu dalaman dan menguatkan imej Harimau Malaya.

Perlawanan esok juga dijangka mendapat sokongan hangat penyokong Vietnam, menjadikan disiplin, fokus dan semangat juang pemain sebagai kunci untuk menghadapi cabaran ini.

Dengan kombinasi pengalaman, taktikal seimbang, dan mental yang kuat, Harimau Malaya berpeluang menutup pusingan kelayakan dengan persembahan yang membanggakan, sekaligus membina asas positif untuk masa depan bola sepak negara.