
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli mengakui masih perlu memperbaiki gaya tunggangan untuk meningkatkan prestasi pada perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini.
- Perlu memperbaiki gaya tunggangan untuk tingkatkan prestasi perlumbaan.
- Meningkatkan kemahiran komunikasi dengan Ketua Kru Jonathan Morales.
- Penting menyelaraskan jentera mengikut kesesuaian perlumbaan.
- Optimis mampu capai podium dengan kerja keras sepanjang musim.
Pelumba AEON Credit MT Helmets-MSI Racing itu berkata, kemahiran komunikasi dengan Ketua Kru Jonathan Morales juga perlu ditambah baik.
Jelas beliau, perkara tersebut penting bagi memastikan jentera dapat diselaraskan mengikut kesesuaian perlumbaan.
Musim ini adalah tahun ketiga pelumba berusia 18 tahun itu telah bekerjasama dengan Morales sejak Junior GP.
“Setakat ini tiada masalah besar cuma saya perlu mempertingkat komunikasi, terutamanya dalam bahasa Inggeris,” katanya pada Majlis Menandatangani Kerjasama MSI Racing Team bersama AEON Credit di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol.
Dalam pada itu, Hakim Danish optimis sasaran meraih kedudukan podium mampu dicapai dengan kerja keras sepanjang musim.
“Bagi saya kedudukan podium tidak mustahil dan saya akan bekerja keras untuk mencapai sasaran itu. Saya harap ia dapat dicapai secepat mungkin dan akan cuba berbuat demikian dalam setiap perlumbaan,” katanya. – BERNAMA