Gol saat akhir Krstovic hancurkan impian Inter

Pengadil Itali, Gianluca Manganiello menunggu keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) ketika perlawanan Serie A antara Inter Milan dan Atalanta BC di San Siro, Milan, Itali pada 14 Mac 2026/ Foto AFP

MILAN, 15 Mac – Inter Milan terus mengalami detik sukar dalam usaha memburu kejuaraan Serie A selepas sekadar seri 1-1 menentang Atalanta BC di San Siro pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inter seri 1-1 dengan Atalanta di San Siro, menjejaskan usaha mereka memburu kejuaraan Serie A.
  • Francesco Pio Esposito membuka jaringan pada minit ke-26 untuk meletakkan Inter di hadapan.
  • Nikola Krstovic menyamakan pada minit ke-82 menerusi rembatan hasil bola muntah, mencetuskan protes pemain Inter.
  • Cristian Chivu dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan pengadil, manakala AC Milan berpeluang merapatkan jurang mata.

Inter terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-26 menerusi jaringan Francesco Pio Esposito yang melakukan rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol pelawat.

Namun Atalanta bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-82 melalui Nikola Krstovic selepas memanfaatkan bola muntah hasil percubaan Kamaldeen Sulemana yang ditepis penjaga gol Inter.

Gol tersebut mencetuskan kemarahan pemain dan pegawai Inter yang mendakwa berlaku tolakan terhadap Denzel Dumfries sebelum jaringan terhasil.

Pengendali Inter, Cristian Chivu turut dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan pengadil Gianluca Manganiello.

Penyokong tuan rumah sekali lagi tidak berpuas hati apabila rayuan penalti oleh Davide Frattesi selepas diasak Giorgio Scalvini tidak dilayan pengadil.

Keputusan seri itu membuka peluang kepada pencabar terdekat, AC Milan untuk merapatkan jurang mata sekiranya mereka menewaskan SS Lazio dalam aksi pada Ahad.

Bagi Atalanta pula, keputusan tersebut sedikit melegakan selepas mereka dibelasah 6-1 oleh FC Bayern Munich dalam aksi UEFA Champions League pada minggu ini.

Dalam satu lagi perlawanan, juara bertahan SSC Napoli bangkit menewaskan US Lecce 2-1 di Stadio Diego Armando Maradona.

Lecce mengejutkan tuan rumah apabila mendahului awal menerusi Jamil Siebert sebelum Napoli membalas melalui jaringan Rasmus Hojlund dan Matteo Politano.

Perlawanan itu turut menyaksikan kepulangan pemain tengah Scotland, Scott McTominay yang membuat penampilan pertama selepas lebih sebulan berehat akibat kecederaan.

Turut kembali beraksi ialah Kevin De Bruyne dan Andre-Frank Anguissa yang sedang pulih daripada kecederaan.

Namun perlawanan dicemari detik cemas apabila pemain Lecce, Lameck Banda terpaksa dikeluarkan selepas rebah di padang.