George Russell dominasi perlumbaan pecut GP China

FOTO AFP

SHANGHAI, 14 Mac – Pemandu Mercedes-AMG Petronas, George Russell meneruskan prestasi cemerlang awal musim apabila memenangi perlumbaan pecut Grand Prix China hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengukuhkan kedudukan pendahulu kejohanan dengan 33 mata, 11 mata di hadapan rakan sepasukan Kimi Antonelli.
  • Saingan sengit awal apabila Russell dan Hamilton bertukar kedudukan beberapa kali dalam lima pusingan pertama.
  • Kereta keselamatan pusingan ke-13 menyebabkan semua pemandu masuk pit; strategi tayar menentukan, Russell kembali di hadapan dan bertahan tekanan Leclerc.

Russell menamatkan perlumbaan di hadapan dua pemandu Scuderia Ferrari iaitu Charles Leclerc di tempat kedua dan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton di kedudukan ketiga.

Kemenangan itu membolehkan Russell terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dunia dengan 33 mata, 11 mata di hadapan rakan sepasukannya, Kimi Antonelli.

Russell mengharungi saingan sengit pada awal perlumbaan apabila beberapa kali bertukar posisi pendahulu dengan Hamilton dalam lima pusingan pertama.

Namun pemandu Britain itu akhirnya berjaya melebarkan jurang sebelum kemunculan kereta keselamatan pada pusingan ke-13 daripada keseluruhan 19 pusingan.

Situasi itu menyebabkan semua pemandu masuk ke pit untuk menukar tayar, namun Russell masih berjaya kembali ke litar sebagai pendahulu.

Selepas perlumbaan disambung, Russell terpaksa bertahan daripada tekanan Leclerc sebelum menamatkan perlumbaan sebagai pemenang.

“Sangat menyeronokkan, banyak strategi digunakan untuk memintas. Biasanya perlumbaan pecut agak membosankan tetapi kali ini cukup menarik,” kata Russell.

Sementara itu, juara dunia bertahan Lando Norris dari pasukan McLaren menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti Antonelli di tangga kelima.

Seorang lagi pemandu McLaren, Oscar Piastri berada di kedudukan keenam.

Dua lagi mata terakhir menjadi milik Liam Lawson dari pasukan RB Formula One Team di tempat ketujuh dan Oliver Bearman dari Haas F1 Team di tempat kelapan.

Perlumbaan itu turut menyaksikan juara dunia empat kali Max Verstappen berdepan aksi mengecewakan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan selepas permulaan yang buruk dari petak kelapan.

Sesi kelayakan bagi GP China dijadual berlangsung lewat hari ini.-AFP