
KELANA JAYA, 15 Februari – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MILO meneruskan inisiatif untuk membangunkan akar umbi bola sepak negara dengan menganjurkan edisi keempat FAM-MILO Ultimate Experience selama dua hari bermula semalam.
- FAM dan MILO terus fokus membangunkan akar umbi melalui program pengalaman dua hari untuk pemain muda.
- Peserta berusia 7–17 tahun diberi pendedahan latihan bersama jurulatih berpengalaman dan pemain kebangsaan wanita.
- Program membuka peluang melihat pengurusan dan kemudahan Wisma FAM serta menginspirasi cita-cita bola sepak.
FAM dalam perkongsian di Facebook rasmi memaklumkan, pada hari pertama, 81 peserta kanak kanak terdiri daripada 36 lelaki dan 45 perempuan berusia 7 hingga 17 tahun diberikan peluang merekodkan pengalaman manis melihat sendiri pengurusan bola sepak di ibu pejabat badan induk bola sepak negara di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Sementara pada hari kedua, 90 peserta, juga berusia 7 hingga 17 tahun diberi peluang sama.
“Pemain-pemain muda terpilih ini juga berpeluang menjalani latihan bersama Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Joel Cornelli dan Ketua Jurulatih Malayan Tigress B-16, Leila Chua serta jurulatih-jurulatih berpengalaman.
“Mereka juga berpeluang melihat unit-unit di ibu pejabat FAM seperti Unit Pengadil FAM, Unit Pertandingan FAM, gim FAM serta kemudahan-kemudahan lain di pejabat FAM,” demikian menurut hantaran tersebut.
Program itu turut dihadiri oleh tiga pemain skuad futsal Malayan Tigress, Intan Sarah Anisah Zulgafli, Fatin Shahida Azmi dan Ayuna Anjani Lamsin.
Sesi latihan berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan teknikal malah membuka ruang interaksi secara dekat bersama pemain wanita kebangsaan.
“FAM dan MILO berharap menerusi pengalaman ini, ia dapat menjadi inspirasi dan motivasi buat pemain-pemain muda ini untuk meneruskan cita-cita mereka di dalam arena bola sepak negara,” menurut hantaran itu.