FAM dijangka tidak alami nasib seperti Timor Leste – AFC

Datuk Seri Windsor Paul

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka tidak berdepan nasib sama seperti Timor Leste susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes FAM didapati semasa kejohanan, berbeza dengan Timor Leste yang dikesan selepas tamat pertandingan.
  • Artikel 25 Kod Disiplin AFC: perlawanan dibatalkan, keputusan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan.
  • Artikel 56 memberi kuasa mengenakan hukuman atau denda terhadap pemain dan persatuan.
  • Keputusan muktamad ditentukan Jawatankuasa Tatatertib AFC; pihak boleh merayu termasuk ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul menyatakan walaupun kes itu dilihat hampir sama, situasi yang dihadapi FAM dan Timor Leste sebenarnya berbeza dari segi masa kesalahan dikesan.

Kes Timor Leste hanya diketahui selepas kejohanan tamat, menyebabkan hukuman dikenakan bagi edisi seterusnya, manakala kes melibatkan Harimau Malaya pula dikesan ketika kejohanan masih berlangsung.

“Dalam kes Timor Leste, kesalahan itu hanya dikesan selepas pertandingan sudah tamat. Apabila perkara itu berlaku, hukuman tidak boleh dikenakan ke belakang, sebaliknya hanya boleh dilaksanakan untuk kejohanan seterusnya.

“Sebab itu Timor Leste dilarang menyertai edisi berikutnya. Namun situasi Harimau Malaya berbeza kerana kesalahan tersebut dikesan ketika pertandingan masih berlangsung,” katanya.

Beliau menyatakan perkara berkenaan pada sidang media di Wisma FAM di ibu negara.

Artikel 25 Kod Disiplin AFC memperuntukkan tindakan pembatalan perlawanan dengan keputusan 3-0 diberikan kepada pasukan lawan, manakala Artikel 56 pula berkaitan hukuman atau denda terhadap pemain serta persatuan.

Sehubungan itu, keputusan muktamad mengenai kes berkenaan akan ditentukan Jawatankuasa Tatatertib AFC berdasarkan peraturan sedia ada.

Windsor turut menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu dibuat secara berhati-hati kerana pihak yang dikenakan hukuman mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan termasuk membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).