
PETALING JAYA, 28 Januari – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu bagi penggal 2025-2029 secara kolektif dan sukarela meletak jawatan mereka dengan serta-merta hari ini.
- Kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela hari ini.
- Keputusan dibuat sebulat suara untuk melindungi integriti FAM dan menjaga reputasi serta kepentingan organisasi.
- Tindakan ini memberi ruang kepada FIFA dan AFC menilai tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM secara bebas.
- Setiausaha Agung Datuk Noor Azman Rahman kekal urus operasi harian sementara Kongres Pemilihan dijangka diadakan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara dengan mengambil kira tanggungjawab organisasi dan tanpa kepentingan atau jawatan peribadi.
Beliau berkata ia merupakan langkah berhemah dan berprinsip yang diambil susulan situasi terkini selain bertujuan melindungi integriti FAM.
“Peletakan jawatan ini bertujuan untuk mencapai objektif berikut iaitu menjaga reputasi dan kepentingan organisasi FAM serta mengurangkan risiko lebih buruk yang boleh menjejaskan bola sepak Malaysia secara keseluruhan.
“(Selain itu) menegakkan prinsip tadbir urus yang baik dan akauntabiliti, terutamanya dalam keadaan keyakinan awam perlu dipelihara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Jelas beliau, peletakan jawatan itu turut dapat menyediakan ruang sewajarnya kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk bebas menilai, meneliti dan jika perlu menangani perkara-perkara berkaitan tadbir urus serta hal ehwal pentadbiran FAM.
Tindakan itu juga untuk memastikan sebarang pembaharuan perlu dilaksana dapat dijalankan tanpa gangguan atau konflik persepsi dan dengan asas kepercayaan yang tinggi.
Dalam masa sama, keputusan itu turut bertujuan memulihkan keyakinan dalam kalangan penyokong, pihak berkepentingan, rakan kongsi dan komuniti bola sepak secara keseluruhan.
Sementara itu, Datuk Mohd Yusoff berkata Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman akan terus menjalankan operasi harian badan induk itu yang dijangka mengadakan Kongres Pemilihan bagi melantik barisan Jawatankuasa Eksekutif baharu.
Krisis yang sedang melanda FAM bermula pada September tahun lepas selepas FIFA mengesahkan bahawa FAM dan tujuh pemain – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Jodo Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).
Semalam, FAM memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan tujuh pemain terlibat selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan ketujuh-tujuh pemain berkenaan sebelum ini.