EPL: United ‘jinakkan’ City 2-0 di Old Trafford

Pemain tengah Manchester United, Bryan Mbeumo (dua dari kanan), meraikan jaringan pembukaan bersama rakan sepasukan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Old Trafford/Foto AFP

Manchester, 17 Januari – Michael Carrick memulakan tugas sebagai pengurus sementara Manchester United dengan cemerlang selepas pasukannya menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bryan Mbeumo kembali dari AFCON dan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-65 melalui rembatan dalam kotak penalti.
  • Patrick Dorgu menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-76 dengan penyudah selepas lorongan Matheus Cunha.
  • United mengutip tiga mata penting, mencatat kemenangan kesembilan musim ini dan kini mengumpul 35 mata.

United menguasai permainan, namun hanya berjaya memecah kebuntuan dalam 25 minit terakhir selepas beberapa percubaan mereka dibatalkan kerana ofsaid.

Bryan Mbeumo yang baru kembali daripada tugasan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), meletakkan United di depan pada minit ke-65 menerusi rembatan dalam kotak penalti yang menewaskan penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma.

Gol itu terhasil susulan kesilapan sepakan percuma Raya Cherki yang membuka ruang kepada United melancarkan serangan balas pantas.

Pada minit ke-76, pemain pertahanan Patrick Dorgu menggandakan kelebihan tuan rumah selepas menyudahkan hantaran lorongan penyerang, Matheus Cunha.

Tiada jaringan tambahan menyaksikan United mengutip tiga mata berharga serta mencatat kemenangan kesembilan daripada 22 perlawanan EPL musim ini.

United kini mengumpul 35 mata, manakala City kekal dengan 43 mata, enam mata di belakang pendahulu liga, Arsenal yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan