
FRANKFURT, 31 Januari – Kelab Bundesliga, Eintracht Frankfurt, pada Jumaat mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Albert Riera, sebagai ketua jurulatih baharu dalam satu langkah mengejutkan selepas beliau meninggalkan kelab Slovenia, Celje.
- Eintracht Frankfurt lantik Albert Riera sebagai ketua jurulatih baharu dengan kontrak hingga 30 Jun 2028.
- Kelab membayar yuran perpindahan 1.3 juta euro dan memilih Riera kerana falsafah bola sepak moden dan menyerang.
- Riera datang dengan pengalaman antarabangsa serta kejayaan domestik di Slovenia; jurulatih sementara kekal untuk perlawanan akan datang.
Frankfurt dalam satu kenyataan memaklumkan jurulatih berusia 43 tahun itu akan memulakan tugas pada Isnin, 2 Februari, dengan kontrak sehingga 30 Jun 2028.
Menurut laporan, Frankfurt bersetuju membayar yuran perpindahan jurulatih berjumlah 1.3 juta euro bagi mendapatkan khidmat Riera.
Pengarah sukan Frankfurt, Markus Kroesche, berkata kelab itu memilih Riera berdasarkan falsafah bola sepak moden yang diterapkannya.
“Albert Riera adalah jurulatih yang menampilkan bola sepak moden, intensif dan menyerang. Beliau memiliki pengalaman antarabangsa, falsafah permainan yang jelas serta pendekatan kerja yang teratur bersama pasukan,” katanya.
Pihak kelab turut memaklumkan Riera meminta kebenaran untuk mengendalikan satu perlawanan terakhir bersama Celje menentang Maribor pada Ahad.
Sebagai pemain, Riera pernah beraksi bersama 11 kelab, termasuk Liverpool, Galatasaray dan Espanyol, selain tempoh pinjaman singkat di Manchester City, serta mencatat 16 penampilan bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
Selepas bersara, beliau pernah bertugas sebagai penolong jurulatih di Galatasaray sebelum mencipta kejayaan bersama Olimpija Ljubljana dengan memenangi liga dan piala domestik.
Riera kemudian menyertai Bordeaux, namun dipecat selepas sembilan bulan kerana gagal membawa kelab itu naik pangkat, sebelum kembali ke Slovenia dan membimbing Celje menjuarai Piala Slovenia, selain mendahului liga dengan kelebihan 12 mata.
Frankfurt memecat Dino Toppmoeller pada pertengahan Januari susulan prestasi tidak menentu, meskipun beliau membawa kelab itu menamatkan Bundesliga di tempat ketiga musim lalu.
Selepas 19 perlawanan liga musim ini, Frankfurt kini berada di kedudukan kelapan, sembilan mata di belakang zon Liga Juara-Juara, selain tersingkir daripada saingan Eropah sebelum perlawanan terakhir.
Jurulatih sementara Dennis Schmitt dan Alexander Meier akan terus mengendalikan pasukan bagi perlawanan Bundesliga menentang Bayer Leverkusen pada Sabtu.- AFP